
SUKA atau tidak, peredaran muzik tanah air kini semakin melihatkan perubahan selera ke arah barat dan budaya K Pop terutamanya generasi muda.
Bahkan, industri tempatan juga amat menggalakkan kedatangan muzik dan penggiat seni yang berlandaskan bahasa asing menerusi lirik lagu.
Kurang bersependapat tentang hal itu, vokalis MonoloQue, Loque, 47, atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar antara yang masih bergiat aktif memperjuangkan falsafah dan budaya Melayu dalam setiap karyanya.
“Sekarang terlampau banyak muzik yang ke arah barat, saya tak kata ia salah tapi sayangnya kisah rakyat dan legasi kita tak dijadikan bahan buat masyarakat.
“Apa jadi dengan kisah-kisah rakyat dan teladan masyarakat terdahulu, rugi kalau terus dilupakan tapi sejarah asing dijulang dalam lagu.
“Seni Malaysia ni masih dianggap hiburan bukan intelektual, jadi sebab itu industri pun tak berkembang macam negara jiran, Indonesia misalnya memang ketengahkan budaya mereka sendiri, jiwa dan pedoman mereka sangat kuat dalam lagu,” katanya kepada Majoriti.
MonoloQue diketuai Loque (tengah) kekal relevan dalam industri muzik tanah air.
Lagunya berjudul Batu Belah Batu Konkrit nyanyian bersama Zulina Aziz yang diberi nafas baharu kian mendapat perhatian di laman sosial.
Meskipun ia merupakan salah satu single dalam album terdahulu sekitar 2011, versi baharu itu nyata memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri.
“Berkisahkan tentang ibu kecewa dengan anak, kisah rakyat Batu Belah Batu Bertangkup menjadi asas dalam lagu ni tapi disuaikan dengan sentimen masyarakat sekarang.
“Perkataan ‘Bonda’ tu simbolik kepada legasi kita, bukan pasal telur ikan, kali ni tentang anak jual tanah, orang kita nak kaya cepat dia jadi pembelot, ini semua yang berlaku zaman sekarang.
“Banyak kisah rakyat yang dahulunya terkenal tapi kini tak diceritakan semula, sedangkan boleh diadaptasi ke dalam situasi sekarang dengan konsep berbeza tapi klasik dan budayanya dikekalkan,” ujarnya.
Lirik ‘ke mana hilang budaya diculik piring terbang’ menurutnya sangat berkias dalam penyampaian mesej kepada masyarakat masa kini.
“Pada saya tu kiasan menunjukkan orang kita terlampau nak kemajuan sampai benda tu makan diri kita sendiri, “ tambahnya.
Menganggap muzik sebagai satu peninggalan legasi, Loque mahu meraikan penyanyi dan komposer lama menerusi versi baharu yang lebih sarat dengan kisah teladan rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram