MALAYSIA mempunyai pelbagai kisah rakyat dan legenda yang suatu ketika dahulu cukup gah hingga menjadi warisan yang popular dalam negara.
Antara kisah yang masih meninggalkan kesan hingga ke hari ini adalah hikayat Puteri Gunung Ledang yang pernah diterbitkan di layar perak pada 2004.
Mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat filem dan ahli sejarawan negara, namun sayangnya idea penerbitan kisah rakyat sedemikian tidak diberi galakan untuk terus difilemkan dengan ia dikatakan kurang berjaya membawa pulangan lumayan buat produksi.
BACA LAGI: Soloz tak larat nak balas beratus mesej ibu bapa, kena sokong minat anak namun pelajaran tetap no.1
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
Industri perfileman negara ketika ini dilihat lebih tertumpu ke arah genre aksi yang umumnya diketahui cukup 'laku keras' di persada Hollywood.
Namun, perlu diingat bahawa kisah rakyat serta pahlawan legenda negara juga tidak kurang hebatnya dan berpotensi besar jika diterjemahkan ke dalam filem.
Selain filem Puteri Gunung Ledang, lima lagi kisah rakyat berikut wajar diilhamkan ke layar perak bagi menjulang sejarah negara ke persada antarabangsa.
1. Pahlawan Cindai
Merupakan seorang puteri daripada keluarga yang mulia berdarah pahlawan, kisah Pahlawan Cindai berlatarkan zaman Kerajaan Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kehormatan serta keadilan yang tinggi.
Mempertahankan masyarakat daripada sebarang ancaman musuh, Cindai menggunakan kain selendang sebagai senjata dan mempunyai seni pertahan diri yang cukup unik.
Tidak hanya mengisahkan peperangan semata-mata, kisah perjuangan Cindai turut mengangkat martabat wanita sebagai pejuang keadilan, maruah serta hak rakyat.
Dia juga menggambarkan kekuatan, keberanian wanita dalam dunia yang didominasi oleh lelaki, sekali gus membuktikan bahawa kepahlawanan tidak mengenal jantina.
Cindai menjadi gambaran keberanian dimiliki seorang wanita sebagai tokoh yang wajar dicontohi masa kini.
2. Legenda Huminodun
Cukup popular dalam kalangan penduduk Sabah, kisah Huminodun kekal menjadi teladan rakyat ekoran jasa serta sumbangannya terhadap orang ramai.
Ceritanya bermula apabila dunia dilanda kemarau panjang yang mengakibatkan hasil bumi di Sabah terputus khususnya padi.
Situasi itu memaksa Kinorohingan untuk mengorbankan anaknya, Huminodun demi menyelamatkan hidupan manusia daripada pupus akibat kelaparan.
Atas faktor kasih sayang dan perjuangan demi rakyat Sabah, Huminodun bersetuju dan menyerahkan tubuhnya untuk diubah kepada padi.
Usai upacara korban itu selesai dijalankan, masyarakat Kadazandusun mula menanam padi dan ia dijadikan simbol kehidupan serta anugerah dari Kinorohingan melalui pengorbanan Huminodun.
3. Bujang Senang
Istilah 'bujang senang' sering disamakan dengan individu lelaki yang masih belum berkahwin.
Namun, ia sebenarnya menyimpan seribu satu kisah menarik yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak.
Berdasarkan kepercayaan dan kisah diwarisi turun-temurun, Bujang Senang merupakan jelmaan seorang pahlawan Iban bernama Simalungun yang menyerupai seekor buaya buas.
Merupakan seorang pahlawan hebat yang berjuang demi suku kaumnya, akibat satu perjanjian yang melibatkan sumpahan, dia dipercayai telah berubah menjadi seekor buaya putih yang sangat besar dan dikenali sebagai Bujang Senang.
Mitos itu dikatakan kekal menjadi simbol kekuatan dan keagungan penduduk di Sungai Batang Lupar, Sarawak hingga ke hari ini.
4. Puteri Saadong
Puteri Saadong dipercayai berasal dari Kelantan dan merupakan seorang wanita bangsawan yang memerintah kerajaan Kota Bharu.
Terdapat beberapa versi kepercayaan kisah Puteri Saadong, namun yang paling menarik adalah dia dikatakan memiliki kekuatan ghaib yang membantunya mempertahankan kerajaannya daripada ancaman musuh.
Menjadi simbol bagi wanita yang berani, bijaksana dan tegas, dipercayai bahawa dia akhirnya meninggalkan dunia nyata dan tinggal di alam ghaib sebagai satu simbol perjuangan.
Dari sisi berbeza, sesetengah kepercayaan mendakwa Puteri Saadong mati syahid ketika mempertahankan negeri dan tanah airnya daripada serangan penjajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram