Keluar dari kampung pedalaman, lawatan pelajar madrasah ke KL kikis persepsi sekolah pondok berfikiran ketinggalan zaman


  • Massa
  • Isnin, 27 Jan 2025

Pelajar dari Madrasah Darul Ansar berpeluang membuat lawatan sambil belajar di Petrosains, Kuala Lumpur.

PENDIDIKAN di madrasah sering kali dipandang sebagai satu bentuk pembelajaran yang tertumpu hanya pada aspek agama.

Namun, bagi pelajar Madrasah Darul Ansar, Marang, Terengganu, proses menuntut ilmu juga perlu melibatkan kepelbagaian bidang termasuk sains dan teknologi agar mendapat pendidikan secara menyeluruh.

Melawat ke pusat ilmu di luar zon selesa juga antara cara pelajar di madrasah menimba pengalaman baharu.

BACA LAGI: Dakwa guna mural tanpa izin, pelukis Lithuania mahu saman syarikat penerbangan tambang murah negara

BACA LAGI: Makan, penginapan mahal dikatakan punca sebenar Cameron Highland sepi

WhatsApp Image 2025-01-26 at 14.29.27

Lawatan pelajar madrasah juga mencuri perhatian pengunjung termasuk pelancong luar negara.

Pada 11 Januari yang lalu, pihak madrasah telah berkesempatan menyertai lawatan sambil belajar yang penuh bermakna di sekitar Kuala Lumpur, anjuran Yayasan Allammiyyah.

Ia adalah merupakan lawatan pertama mereka ke Kuala Lumpur yang melibatkan para pelajar yang majoritinya adalah asnaf dan fakir miskin iaitu sekitar 70 peratus.

Menurut Ketua Pelajar Muslimat, Aisyah Sufiyah Hussin, 22, program itu bukan sahaja membuka ruang bagi mereka untuk menimba ilmu, tetapi juga untuk mencapai keseimbangan yang ideal antara dunia dan akhirat.

Katanya, madrasah juga memberi peluang kepada pelajar untuk keluar dan mengalami sendiri dunia luar seperti lawatan ke Muzium Kesenian Islam Malaysia, Skybridge, Observation Deck dan Pusat Petrosains, Kuala Lumpur.

Para pelajar juga dapat menikmati juadah makan malam secara bufet di hotel terkemuka di ibu kota itu.

Baginya, aktiviti-aktiviti seperti itu memberi peluang kepada para penuntut untuk menimba ilmu yang lebih luas, termasuk seni dan budaya, serta sains dan teknologi.

“Ini secara tidak langsung dapat mengubah persepsi bahawa pendidikan madrasah hanya terbatas pada agama semata-mata.

“Program lawatan sambil belajar ini juga secara tak langsung dapat mengeratkan lagi ukhwah kami dan guru-guru,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2025-01-26 at 14.29.38

Setiap pelajar diterapkan untuk sentiasa sopan dan beradab dalam melakukan sesuatu perkara.

Baginya, belajar di madrasah atau sekolah pondok tidak hanya menitikberatkan pengajaran agama, tetapi memberi ruang kepada pelajar untuk berkembang dalam bidang lain yang relevan dengan kehidupan moden seperti teknologi.

Seorang lagi wakil pelajar perempuan madrasah itu, Nur Fatihah Izzat, 25, berkata, merantau untuk mendapatkan ilmu adalah sangat dituntut dalam agama Islam.

Begitu juga dengan dirinya yang berasal dari Kuantan, Pahang merantau jauh ke Terengganu untuk mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.

Katanya, keputusan itu tidak sia-sia kerana madrasah tersebut merupakan satu-satunya sekolah pondok yang memberi keutamaan khusus buat wanita.

Mereka juga diberi tumpuan kepada aspek sosial dan pergaulan yang lebih tertutup bagi menjaga maruah dan kehormatan perempuan.

WhatsApp Image 2025-01-26 at 14.30.29

Pendedahan tentang pendidikan di madrasah perlu diperluas bagi menangkis persepsi-persepsi negatif.

Bagi Fatihah, pendidikan bukan hanya terhad kepada pembelajaran agama semata-mata, tetapi tentang bagaimana ia membantu membina keperibadian yang baik dalam masyarakat.

Fatihah juga tidak menafikan bahawa sering kali menerima tanggapan negatif tentang status madrasah oleh masyarakat umum.

Banyak juga persepsi yang menyatakan bahawa pelajar madrasah hidup dalam dunia yang tertutup, ketinggalan zaman atau tidak terbuka kepada pandangan luar.

Namun, bagi Aisyah dan Fatihah, masalah yang timbul bukan pada sistem pendidikan, tetapi lebih kepada bagaimana individu tersebut mengamalkan ilmu yang dipelajari.

“Mana-mana institusi pendidikan, penuntut madrasah juga memerlukan pengamalan yang betul dari segi akhlak dan adab untuk membentuk masyarakat yang lebih baik.

“Untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap madrasah, kami sebagai pelajar perlu bergaul dengan orang luar dan menunjukkan akhlak yang baik.

“Dengan cara ini, orang ramai akan mula melihat madrasah dalam perspektif lebih positif, bukan sebagai tempat yang tertutup atau kolot, tetapi melahirkan individu berkualiti dan berilmu,” jelasnya.

WhatsApp Image 2025-01-26 at 14.30.29 (1)

(Dari kiri) Muhamad Najmi, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (Pemegang Amanah Yayasan Allammiyyah), Tuan Guru Hj Hussin Draman (Pengasas dan Tuan Guru Madrasah Darul Ansar) dan Datuk Sri Ahmad Fuaad Kenali (Penasihat Yayasan Allammiyyah).

Sebagai pelajar yang telah berada di madrasah selama lebih 13 tahun, mereka berpendapat bahawa madrasah perlu terus berkembang.

Tidak hanya fokus pada bidang keagamaan, malah menyediakan ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bidang ilmu yang boleh digunakan untuk manfaat masyarakat sejagat.

Dalam dunia yang semakin maju, madrasah perlu terus diberi peluang dan pengiktirafan demi membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan, berakhlak dan mampu beradaptasi dengan cabaran global.

Inisiatif yang disokong oleh beberapa pihak bertanggungjawab lain termasuk Yayasan Allammiyyah itu juga perlu dijadikan sebagai contoh positif kepada masyarakat.

Yayasan yang diterajui oleh pengasasnya, Muhamad Najmi Mohd Aris, 50, juga memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan dana serta memberi peluang pendidikan tambahan kepada madrasah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram