MASYUR di pentas e-Sukan antarabangsa, Soloz atau nama sebenarnya Muhammad Faris Zakaria, 31, dianggap pelopor industri berkenaan yang kini semakin diminati ramai.
Meskipun sekadar beraksi di gajet telefon pintar, stigma yang memandang rendah budaya permainan video tidak dapat dielak di awal pembabitannya.
Jelasnya yang pernah menjuarai Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) 2018, kejayaannya sukar diterima ramai pada mulanya terutamanya golongan ibu bapa yang banyak bertanyakan soal masa depan e-Sukan padanya.
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
"Saya terima ratusan mesej dari ibu bapa yang tanya tentang e-Sukan Mobile Legend ni, semua dm Instagram sebab mungkin risau anak-anak terpengaruh dengan saya.
"Mereka minta saya beri nasihat anak mereka agar tak lalai bermain permainan video dan tak lupakan pelajaran.
"Terlampau banyak sangat yang mesej sampai saya tak larat nak balas, kalau satu dua takpa lagi, ini penuh dm saya," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, populariti Soloz kian fenomena di pentas e-Sukan negara apabila kisah hidupnya diangkat di layar perak menerusi filem Soloz: Game of Life arahan pengarah tersohor, Syafiq Yusof.
Soloz (tengah) pada malam gala tayangan perdana filem Soloz: Game of Life baru-baru ini.
Sama sekali tidak menjangkakan perkara itu boleh berlaku, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan tersebut berharap ia sedikit sebanyak membantu memulihkan pandangan serong masyarakat terhadap e-Sukan.
"Saya harap filem ni mampu beri manfaat kepada generasi muda, apa-apa pun pelajaran nombor satu dan ibu bapa kena sokong apa yang anak-anak minat.
"Memang betul main e-Sukan ni boleh jana pendapatan zaman ekarang tapi perlu bijak kerana ada cabarannya juga, ia tak semudah yang dijangka.
"Jangan sesekali abaikan pelajaran dan jadikan permainan video ni sekadar hiburan semata, kalau betul serius kena buktikan ia seiring dengan pelajaran, saya sendiri pun belajar sampai diploma," ujarnya.
Ditanya soal masa depan dan harapannya terhadap industri e-Sukan Malaysia, Soloz berharap agar ia lebih berkembang di masa akan datang dan lebih ramai lagi bakat baharu yang mampu mewakili negara kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram