AGENSI Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan lima lelaki disyaki warga asing yang ditembak pada Jumaat terlebih dahulu menyerang penguat kuasa yang sedang meronda di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor.
Bot yang dinaiki suspek dilaporkan telah melanggar bot Maritim sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.
Atas faktor keselamatan, pegawai Maritim melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah buka penutup serombong gas, pekerja kilang di China maut kena semburan kuat api
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara gas bocor, 2 maut restoran ayam goreng terkenal meletup
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak Maritim kemudian menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bot yang terdampar di Pantai Banting, pukul 9 pagi hari yang sama.
"Pihak Maritim telah bergerak ke lokasi sebelum menemui dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menunda bot dinaiki mereka ke pengkalan Maritim di Pelabuhan Klang, serta mendapatkan bantuan ambulans.
"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia, manakala seorang lagi ditemui masih hidup dan dalam keadaan kritikal.
"Suspek yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang menyatakan menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing yang cedera akibat tembakan.
"Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun.
"Kes ini juga turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram