SEORANG pemandu wanita berdepan detik cemas apabila didatangi dua individu lelaki yang sengaja meletupkan mercun pada keretanya di Taman Sentosa, Klang, Selangor pada Jumaat.
Kejadian berlaku ketika pelaku terlebih dahulu dilihat membakar bahan api itu di tengah jalan sesak.
Akibat laluan terhalang, pemandu wanita terbabit berhenti untuk melihat keadaan yang berlaku namun, situasi sebaliknya pula berlaku.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Dipercayai sengaja meletakkan mercun itu atas keretanya, perbuatan tersebut nyata mengundang kemarahan mangsa yang sempat menengking ke arah individu terbabit ketika kejadian.
"Weh, serius la.. saya ada rakaman ya," ujarnya ketika kejadian.
Dikongsikan secara meluas di platform media sosial, rata-ratanya menyifatkan perkara itu sebagai tindakan biadab yang seharusnya dikenakan tindakan undang-undang polis.
"Budaya samseng dan besar kepala, suka langgar undang-undang dan tunjuk kuat tak bertempat, lapor polis, bukti semua ada," kata Sani Yasis.
"Nak main mercun tu tak ada masalah tapi kau main tengah jalan sesak, lepas itu campak atas kereta orang tu paling biadab aku rasa, muka kau viral dah ni," ujar Pak Jabit Nr.
"Sama ada mabuk atau sengaja, rosak kereta sebab perangai orang biadab macam ni, bahaya perempuan zaman sekarang jadi sasaran" tambah Fasha Mior.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam Jumaat.
Katanya, terdahulu seorang wanita berusia 26 tahun membuat laporan berhubung tindakan dua lelaki membakar mercun di sebelah kenderaannya sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian pada pukul 2 petang.
"Hasil siasatan mendapati semasa pengadu melalui jalan itu, suspek membakar mercun dan meletakkan di atas bonet kereta wanita berkenaan.
"Selepas dimarahi, suspek kemudian mengambil semula mercun berkenaan dan meletakkan di tepi kenderaan sehingga menyebabkan sedikit kerosakan pada bahagian bumper dan sisi kereta," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tindakan dua lelaki itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta mangsa dan susulan itu polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Hasil semakan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 27 Januari.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram