Usah pandang sisi gelap, Vivy kini 'move on' mahu bangunkan aplikasi derma mudahkan masyarakat beramal


Vivy pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah jawatan yang membuktikan komitmennya dalam memajukan pendidikan negara.

SEBUT sahaja nama Datin Vivy Yusof, pasti semua kenal dengan usahawan popular berusia 38 tahun itu. Tidak hanya terkenal sebagai ikon fesyen, malah turut memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain melalui perwatakan yang dibawanya.

Dilahirkan pada 1987, beliau merupakan usahawan berjaya tidak asing lagi dalam dunia perniagaan tempatan. Beliau merupakan pengasas bersama FashionValet, platform e-dagang yang menawarkan pelbagai produk fesyen, serta pengasas jenama tudung terkenal, The dUCk.

Dengan latar belakang pendidikan di London School of Economics (LSE), Vivy mula menceburi dunia perniagaan pada 2010, dan sejak itu, beliau berjaya mengembangkan empayar perniagaannya.

BACA LAGI: Tak kisah kekasih 'red flag', cinta Ameera Khan untuk Jefri Nichol terus utuh

BACA LAGI: Siri 2: Ibu bapa anak OKU ‘tersepit’, pakar cadang bangunkan polisi WFH

Vivy Yusof

Vivy mula menceburi dunia perniagaan pada 2010 sejak itu berjaya mengembangkan empayar perniagaannya.

Namun, perjalanan Vivy bukanlah tanpa cabaran. Pada November tahun lalu, beliau dan juga pasangannya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar terpalit dengan kontroversi berkaitan dakwaan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta.

Susulan itu, kedua-dua mereka mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pengasas dalam FashionValet sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen yang mendakwa pasangan itu seolah-olah mahu 'melarikan diri'.

Lebih-lebih lagi apabila Vivy mula mengaktifkan mode private pada akaun Instagramnya, usahawan berkenaan memilih untuk hanya berkongsi kehidupan peribadinya bersama pengikut sedia ada.

Dalam pada kontroversi sedang hangat melanda, ramai mungkin lupa akan pelbagai sumbangan beliau lakukan kepada masyarakat. Namun, sisi kebaikan Vivy yang tidak pernah putus memberi sumbangan kepada memerlukan wajar untuk diperkatakan.

Sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia, Vivy Yusof antara individu yang menggunakan pengaruhnya untuk menggerakkan saluran bantuan kepada golongan terkesan. Beliau berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.8 juta membeli bekalan perubatan dan barangan keperluan lain bagi disalurkan ke 196 pusat kesihatan seluruh negeri.

Melalui badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan IKRAM Malaysia, sebanyak 1,700 tudung bernilai RM255,000 telah diberikan kepada petugas barisan hadapan (frontliner).

Inisiatif mengumpul dana awam berjumlah RM170,000 juga telah dimanfaatkan oleh petugas kesihatan yang bekerja keras sepanjang tempoh waktu pandemik. Selain itu, sistem pendingin hawa mudah alih turut disumbangkan kepada Hospital Serdang, Serdang, Selangor.

Menerusi kempen MODA For Frontliners yang merupakan inisiatif bersama Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), Fashionvalet dan Imam Response & Relief Team (IMARET) bergabung tenaga dengan para pereka tempatan untuk menjahit sut PPE khusus buat petugas barisan hadapan.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan, laman web FashionValet juga membuka platformnya untuk peniaga makanan kecil secara percuma tanpa melibatkan sebarang pengambilan komisen. Komitmen Vivy dalam membantu usahawan mikro juga menyerlah sewaktu penganjuran FVBazaar sepanjang bulan Ramadan.

Program The Honor dUCk pernah dianjurkan bagi tujuan menyokong ekonomi komuniti tukang jahit yang terdiri daripada ibu tunggal yang berpeluang meraih pendapatan tambahan dengan menjahit produk-produk dUCk.

Tidak hanya di peringkat tempatan, Vivy juga menunjukkan solidariti antarabangsa apabila beliau melancarkan jualan tudung edisi khas 'The Palestine dUCk'. Hasil jualan yang mencecah RM600,000 disalurkan terus kepada NGO Viva Palestina Malaysia bersama RM1 juta dana terkumpul di dalam Tabung Palestin melalui dUck.

Vivy dan The dUCk juga pernah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada NGO Hunger Hurts dan RM100,000 kepada rumah orang tua di seluruh negara, memperlihatkan komitmen terhadap kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Dalam menghadapi bencana banjir pada 2021, Vivy mengadakan kempen bantuan dengan mengumpulkan barangan keperluan serta berjaya mengumpul lebih RM250,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di negeri-negeri terlibat.

Tidak hanya di dalam negara, Vivy meneruskan kerja amalnya hingga ke persada antarabangsa. Beliau berjaya mengumpul sumbangan ramai sehingga mencecah RM1 juta untuk Palestin manakala menerusi penjualan skarf The Palestin dUck pula, sejumlah RM600,000 hasil jualan telah diraih. Semua sumbangan disalurkan terus kepada Pertubuhan Viva Palestina Malaysia.

Book launch and interview. To do profile shot of Vivy Yusof.— 16/12//2022/S.S.Kanesan/ The Star.

Vivy menerima pelbagai anugerah dan penghargaan atas sumbangannya dalam dunia perniagaan dan kepimpinan.

Pencapaian Vivy

Tidak hanya itu, Vivy juga tidak asing dengan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah jawatan yang membuktikan komitmennya dalam memajukan pendidikan negara.

Selain itu, Vivy telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan atas sumbangannya dalam dunia perniagaan dan kepimpinan.

Antara anugerah yang pernah diterima beliau ialah Bella Business Award (2013), Young Entrepreneur of the Year Award (Asean@50 Achievement Awards) 2017 termasuklah apabila namanya tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada 2017.

Dengan pengalaman dimiliki, Vivy kini berhasrat membangunkan aplikasi derma yang memudahkan masyarakat untuk menyumbang kepada pelbagai tujuan amal.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya minggu lalu, Vivy menyatakan hasratnya itu sambil mencari individu yang mempunyai kebolehan dalam bidang berkenaan. Melalui aplikasi tersebut, ia dapat memperluaskan jaringan dermawan dan memudahkan orang awam untuk memberi kepada orang yang memerlukan.

Walaupun beliau kini berhadapan dengan cabaran dalam kariernya akibat kontroversi kes pecah amanah melibatkan Khazanah dan PNB, namun tidak dapat dinafikan bahawa beliau banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Sumbangan-sumbangan sepanjang pandemik serta inisiatif untuk membantu peniaga kecil dan petugas hospital, menunjukkan bahawa Vivy bukan sahaja seorang usahawan berjaya, tetapi seorang dermawan prihatin.

Vivy Yusof

Vivy (kiri) dan Fadza berjaya mengembangkan empayar perniagaan FashionValet termasuk jenama-jenama lain di bawahnya.

Pengalaman bekerja di bawah Vivy

Berbicara mengenai sisi manis ibu kepada empat cahaya mata itu, salah seorang bekas staf di FashionValet menyifatkan Vivy dan suami merupakan usahawan bijak meneroka pelbagai cabang bisnes.

Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan apabila mereka berjaya mengembangkan empayar perniagaan FashionValet termasuk jenama-jenama lain di bawahnya.

Menurut wanita selesa dikenali sebagai Mimi, meskipun duduk di atas kerusi ketua pegawai eksekutif, tetapi Vivy memiliki mata yang tajam dalam mengenal pasti potensi dimiliki para pekerjanya.

"Menariknya mengenai Vivy, beliau lebih nampak keupayaan staf berbanding empunya diri. Beliau sedaya upaya 'menolak' kami ke hadapan melakukan bermacam-macam tugas luar daripada kemampuan.

"Selepas berjaya menyelesaikan satu-persatu task diberikan, oh rupanya kami mampu lunaskannya dengan baik cuma sebelum ini dibayangi perasaan takut dan bimbang," katanya ketika ditemui Majoriti di Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah Mimi, beliau bersyukur kerana berpeluang bekerja bersama Vivy yang mempunyai misi dan visi besar dalam industri fesyen. Biarpun kurang tempoh tiga tahun bekerja di FashionValet, namun pengalaman dan ilmu dicurahkan oleh Vivy dijadikan panduan untuknya aktif mengusahakan bisnes dalam bidang gaya hidup.

Sebelum mengakhiri bicara Mimi sempat berkongsi, "Vivy tidak mengutamakan bisnesnya sahaja, sebaliknya beliau turut turun padang, menyokong dan meniupkan semangat buat rakan-rakan yang baharu memulakan perniagaan.

"Kadangkala beliau bersama-sama membantu agar jenama diusahakan sahabatnya terus meningkat dan dikenali ramai." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram