MALAYSIA penuh berwarna-warni sentiasa menjadi tumpuan dan pilihan pelancong antarabangsa meneroka keindahan budaya, kecantikan alam semula jadi.
Daya tarikan global tersebut selari dengan motto Malaysia Truly Asia!
Mendekati pempengaruh (content creator) warga Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Lilith, beliau mula jatuh cinta sejak melanjutkan pengajian dalam Psychological Studies di Monash Universiti, Subang Jaya, Selangor.
BACA LAGI: 'Nampak tegas', tonggak Penang-TFC-Selangor respons kedatangan Peter Cklamovski
BACA LAGI: Keazaman TMJ mudahkan saya sertai Harimau Malaya — Peter
Lilith bersama rakannya semasa bercuti di Cameron Higlands, Pahang.
Lilith berkongsi pengalamannya pernah dipikat orang tempatan ketika melakukan pengembaraan solo di Malaysia, namun perkara tersebut tidak dianggap sesuatu negatif, sebaliknya disifatkan gurauan mesra masyarakat di Malaysia yang mengalu-alukan kehadiran beliau.
“Saya tidak pernah lagi mendapat pengalaman negatif semasa membuat solo wanita di Malaysia. Orang tempatan sangat mesra. Ramai yang menyapa dengan hello, hai beautiful. Saya tidak berasakan bahaya kerana mereka tidak berada dekat dengan ruang peribadi atau membazirkan masa saya.
“Walaupun saya orang luar negara dan tidak beberapa fasih bahasa etnik di sini, tapi masih rasa selamat untuk menjelajah Malaysia walaupun pada waktu malam,” katanya kepada Majoriti.
Rumah biru menjadi lokasi pilihan Lilith ketika berkunjung ke Malaysia.
Beliau yang kembali ke Malaysia selepas fasa pandemik Covid-19 mengekspresikan rasa cintanya terhadap Malaysia dengan memilih untuk menjadi content creator sepenuh masa di sini.
“Selepas enam bulan lepas menetap di Malaysia, saya membuat keputusan untuk menjadi content creator sepenuh masa. Saya dalam fasa hendak mendapatkan pengalaman yang banyak bagi mendapatkan visa.
“Buat seketika saya berada di Kuwait, tapi masih banyak dan suka membuat hantaran tentang Malaysia di platform media sosial,” ujarnya yang pernah menjadi tenaga pengajar bahasa Inggeris itu.
Selain daripada harapannya kembali ke Malaysia untuk bekerja di sekolah antarabangsa, pemilik akaun Instagram @lilithonplanetearth dengan jumlah pengikut sebanyak 53,000 itu menyatakan, dirinya jatuh cinta dengan Malaysia semasa mula membuat kandungan di negara itu.
“Saya berpeluang menikmati pelbagai perkara menarik di Malaysia, termasuk kemesraan orang tempatan dan keenakan makanan," ujarnya.
Bagaimanapun, Lilith sedikit terkilan apabila terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan menyuruhnya mencipta kandungan secara percuma.
“Sebagai pencipta kandungan, ramai meminta kami hasilkan content secara percuma dan ini tidak sepatutnya berlaku. Ini menunjukkan masih ada pihak yang kurang hormat terhadap karya kami. Walaupun begitu, saya anggap perkara itu turut berlaku di negara lain.
“Baik saya jadi artis mahupun penyanyi! Bagaimana kami boleh hidup kalau setiap masa diminta melakukan kerja secara percuma. Itu tidak adil kerana ini adalah sumber pendapatan kami,” luahnya.
Mural ikonik di Pulau Pinang turut memikat hati Lilith.
Menjadikan pempengaruh Malaysia, Ceddy Ang sebagai rujukan yang disukai berikutan cara dan personalitinya yang begitu warna-warni, landskap masyarakat tempatan dalam menghargai budaya lain dalam pelbagai cara turut mencairkan hari Lilith.
“Malah, saya sendiri amat menghormati agama Islam sebagai agama majoriti kerana mereka tak pernah memaksa orang lain untuk berbuat apa yang mereka amalkan.
”Saya juga sangat teruja bagaimana rakyat Malaysia menerima budaya etnik yang lain sebab saya nampak Melayu pakai cheongsam, India pakai baju raya dan lain-lain. Mereka buat dengan penuh rasa hormat.
”Di negara saya (AS) jika anda nak buat sedemikian, walaupun sebagai penghargaan masyarakat akan cakap hal berkenaan tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Kuala Lumpur adalah lokasi yang sangat mudah untuk bersiar-siar walaupun tiada kereta persendirian.
Turut diakui olehnya, gaya hidup di Malaysia lebih mudah berbanding negaranya, namun bergantung kepada kawasan tertentu.
“Kuala Lumpur adalah lokasi yang sangat mudah untuk anda jalan-jalan. Di negara saya, anda perlu ada kereta untuk bergerak. Di Kuala Lumpur, walaupun tidak berkereta, saya masih boleh keluar dengan perkhidmatan e-Hailing untuk jalan-jalan cari makan serta pengalaman di sekitar kawasan.”
Sebagai warga asing, beliau amat menyukai tempat yang mempunyai pemandangan indah dan makanan yang sedap, mencari pelbagai tempat makan dengan estetika berlainan seperti matahari terbit atau terbenam termasuk meneroka alam semula jadi.
Antara restoran masakan Melayu yang dicadangkan oleh Lilith adalah Skyhill Fusion Restaurant, Petaling Jaya yang menawarkan Nasi Lemak Pandan bersama ketam berkulit lembut. Kemudian, untuk masakan Cina, Sin Kiew Yee Shin Kee Beef Noodles, di China Town, Kuala Lumpur menjadi pilihannya.
“Bagi masakan India pula, saya cadangkan Mansion Tea Stall Al-Amna di Masjid Jamek. Di situ, roti canai banjirnya bersama telur separuh masak menjadi kegemaran saya,” jelasnya.
Lilith bercadang untuk ke Sarawak sebagai destinasi pertama apabila kembali ke Malaysia pada musim panas untuk menerokai keindahan bumi tersebut.
Lilith bercadang untuk ke Sarawak sebagai destinasi pertama apabila kembali semula ke Malaysia pada musim panas. Ini termasuk melawat semua negeri-negeri di Malaysia dan dapatkan pelbagai bentuk perspektif di sana sebagai misi 2025.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram