
VISI yang dimiliki oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim terhadap skuad kebangsaan menjadi pengaruh besar untuk meyakinkan Peter Cklamovski menerima tawaran menjadi jurulatih baharu Harimau Malaya.
Cklamovski berkata, ia adalah keputusan yang sangat mudah untuk dipersetujui dengan menjadi sebahagian projek revolusi Harimau Malaya selepas melihat kesungguhan Tunku Ismail dalam menjayakan projek baharu tersebut.
BACA LAGI: Bukan lagi ejen bebas, ex import acah 'scam' Selangor FC kini sertai kelab Eropah
BACA LAGI: 'Confirm juara', kemenangan di Bandaraya bikin Selangor calon terbaik julang MFL Challenge Cup
“Beliau seorang yang mempunyai visi. Dengan semangat yang dimiliki dan visinya dalam projek ini, saya melihat keazaman itu hingga bersetuju (dengan tawarannya). Saya sangat berbangga untuk membantu Malaysia ke arah yang betul,” katanya.
Cklamovski ditemui pada majlis menandatangani perjanjian di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Puma Malaysia di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Dalam pada itu, Cklamovski tiba di Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu. Ketua jurulatih kelahiran Australia itu diumumkan sebagai sebahagian daripada keluarga Harimau bagi menggantikan pengendali interim dari Sepanyol, Pau Marti Vicente.
Misi awal yang akan dikendalikan oleh jurulatih berusia 46 tahun itu adalah membawa Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Bercakap mengenai senarai pemain yang akan bermain untuk Malaysia, Cklamovski menjelaskan dia tidak memilih bulu dan sesiapa sahaja boleh mewakili Malaysia di bawah kendaliannya selepas ini.
“Semua orang mempunyai peluang untuk meningkatkan diri dan mempunyai peluang untuk bermain untuk negara mereka. Jadi tidak penting siapa anda, usia anda. Jika anda cukup baik, anda akan mempunyai peluang untuk bermain.
“Kami mempunyai dua bulan (sebelum pusingan akhir). Jadi kami mempunyai masa persiapan untuk berjalan dengan betul. Saya menanti-nantikan proses ini dan kami bekerja keras untuk menjadi pasukan yang kuat,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram