Adrenalin turun tebing sambil menongkah deras air terjun, gementar tapi menyeronokkan


  • Relaks
  • Ahad, 19 Jan 2025

Aktiviti turun cenuram di Sungai Gabai dikendalikan oleh komuniti pendaki dikenali Maintali Outdoor.

DERUAN air terjun Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor sentiasa menggamit penduduk setempat di sekitar Lembah Klang untuk bermandi-manda. Salah satu faktornya adalah kerana ia masih dikelilingi kehijauan hutan tropika, selain air sungai yang bersih.

Pada masa sama, lokasi itu juga terkenal dengan aktiviti ekstrem iaitu menuruni tebing dan batu-batu besar sambil dihujani air terjun.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menyertai aktiviti turun cenuram atau abseiling di Sungai Gabai dikendalikan oleh komuniti pendaki dikenali Maintali Outdoor.

BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan

BACA LAGI: Kim Kardashian derma pakaian dalam jenama sendiri, makanan untuk mangsa kebakaran tragis LA

Jurulatih yoga, Alyssa Yu, 24, yang hadir bersama rakannya, Darryl Boo, 27, menyifatkan proses untuk turun di kawasan berbatu tidaklah begitu sukar. Namun, situasi paling mencabar apabila perlu berdiri semula selepas terjatuh.

“Bayangkan anda ingin berdiri sambil melawan deras air yang jatuh di kepala, memang meletihkan. Sehinggakan saya perlu berhenti beberapa kali untuk mencari permukaan yang sedikit terlindung.

“Saya fikirkan datang ke sini (Sungai Gabai) untuk mandi sungai, rupanya tidak. Tak sangka perlu ‘bermain’ dengan batu sungai,” katanya sambil ketawa.

Alyssa yang dilengkapi dengan alat keselamatan tersenyum menandakan keseronokan yang sedang dinikmati olehnya.

Alyssa (kanan) teruja melakukan aktiviti turun cenuram sambil dihujani air terjun.

Lokasi tersebut memerlukan pengunjung mendaki lebih kurang 200 meter (m) dengan laluan bertangga dan berbukit.

Pun demikian, usah bimbang kerana sebelum memulakan aktiviti, jurulatih profesional akan memberi taklimat ringkas dan berkongsi teknik bagi memudahkan pergerakan ketika menuruni air terjun.

Berbeza dengan turun cenuram di bangunan atau bukit, antara perkara yang ditekankan adalah tindakan susulan apabila terjatuh.

Jurulatih sedang membuat persiapan untuk mengikat tali utama sebelum ia dipasangkan pada tali pelepasan.

Jurulatih membuat persiapan mengikat tali utama sebelum dipasangkan pada tali pelepasan.

Situasi tersebut memerlukan peserta memastikan kedudukan kepala menunduk, kemudian cari permukaan untuk meletakkan kaki seterusnya berdiri perlahan-lahan.

Hal ini kerana, kedudukan kepala yang mendongak akan memberikan tolakan air yang kuat terus ke muka. Ia menyebabkan seluruh badan menjadi berat lalu hilang kawalan. Malah, ia meningkatkan risiko kejadian tergelincir kerana terpijak batu licin.

Bagaimanapun, pemakaian alat keselamatan seperti helmet, pelindung siku dan lutut serta kasut membantu mengurangkan impak hentakan.

Jarak untuk turun di kawasan air terjun lebih kurang 55m hingga 60m ke bawah, debaran jantung terus dirasai sejurus peralatan diikat pada tali utama.

Tali laras akan dilepaskan ke bawah dan posisi badan perlu berada dalam kedudukan membongkok 90 darjah. Bengkokkan lutut sedikit bagi memudahkan pergerakan.Tubuh anda akan merasai impak tekanan air akibat deras air terjun yang turun tanpa henti.

Antara permukaan laluan menurun di Air Terjun Sungai Gabai.

Antara permukaan laluan menurun di Air Terjun Sungai Gabai.

Ketika memulakan langkah pertama saja, penulis sudah pun tergelincir dan jatuh di lereng batu, tetapi jurulatih berjaya menenangkan peserta supaya tidak panik dan mencari tebing pada kadar segera untuk berdiri semula.

Menariknya, di setiap jarak 15m terdapat beberapa titik persinggahan membolehkan peserta mengambil nafas sambil menikmati keindahan alam ketika berada di tebing air terjun.

Ia merupakan situasi sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Badan dan fikiran terasa bebas sambil tubuh dibasahi percikan air sungai yang sejuk, sungguh menenangkan.

Jururlatih akan sentiasa peka dan membimbing peserta untuk turun hingga ke garisan penamat.

Peserta tidak perlu bimbang jurulatih sentiasa peka dan akan membimbing sepanjang proses menuruni cenuram.

Selain itu, trek untuk turun juga tidak lurus sepenuhnya kerana ada beberapa sudut yang memerlukan peserta beralih kedudukan dek terdapat permukaan batu tajam dan perlu dielakkan.

Di tebing itu juga peserta akan diajar teknik bergerak secara berjengket-jengket sambil mengalih kedudukan ke kiri atau kanan untuk menukar laluan.

Teknik pergerakan berjengket itu bertujuan memudahkan peserta yang tidak dapat menghabiskan perjalanan kerana terlalu letih.

Peserta akan ditarik ke tepi oleh jurulatih dan mendarat di kawasan lereng yang sesuai sebelum membuka peralatan keselamatan.

Sementara itu, jurulatih, Amirul Murshid Amirulzaman, 28, memberitahu, tali yang digunakan untuk aktiviti tersebut memerlukan pemeriksaan berkala. Apatah lagi, jika alat terbabit sentiasa terdedah dengan air, ketegangan tali perlu diuji setiap kali membawa atau menukar peserta sebelum dibawa turun.

Mesra dipanggil Amirul, kata beliau, peserta yang mempunyai berat badan melebihi 100 kilogram (kg) tidak digalakkan menyertai aktiviti tersebut.

Keadaan ketika sedang menukar laluan denga teknik berjeket-jengket.

Antara situasi dapat dilihat ketika menukar laluan dengan teknik berjeket-jengket.

“Bukan tidak boleh. Lagipun saya pernah membawa turun individu beratnya 120kg. Namun, kami dapati pergerakan agak terganggu, lebih-lebih lagi jika jumlah peserta aktiviti terlalu ramai,” katanya jumlah maksimum dalam satu kumpulan sekitar enam orang.

Namun begitu, tidak kira sesiapa pun baik dari segi bentuk fizikal, usia mahupun jantina para peserta perlu sentiasa bersedia sekiranya terjatuh atau tergelincir kesan hampir separuh daripada permukaan laluan licin.

“Sama ada jurulatih, pemula ataupun mereka yang berpengalaman melakukan aktiviti turun cenuram, kejadian seumpama itu (terjatuh atau tergelincir) pasti akan berlaku.

“Paling penting, harus ada keberanian untuk terus menamatkan aktiviti,” ujar Amirul lanjut.

Secara purata, setiap sesi penurunan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 45 minit. Walaupun tidak terdedah cuaca panas terik dan sentiasa berada dalam keadaan sejuk, namun cabarannya tetap ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram