ISTILAH bachelor pad atau rumah bujang sering kali dikaitkan dengan ruang yang sempit, tidak teratur dan kurang memberi perhatian pada seni dekorasi kerana sering dikaitkan dengan barang yang banyak.
Sehubungan itu, penting bagi seseorang memberi perhatian kepada pelbagai elemen dekorasi seperti skema warna, tema, perabot, dan hiasan seni. Objektif utama adalah untuk mencipta ruang kemas dan praktikal, namun tetap menampilkan elemen moden serta cantik ideal dengan cita rasa semasa.
Pun demikian, jangan membataskan pemilihan skema warna mengikut gender dengan erti kata lain dekorasi bilik wanita bujang misalnya, tidak semestinya berwarna merah jambu.
Rona apa sahaja boleh diterapkan menyuntik ketenangan dan persekitaran kondusif tatkala bersantai di rumah khususnya pada hujung minggu selepas lelah bekerja.
Mengambil kira pandangan dan pendapat pereka hiasan dalaman Aifurd Living, Adzain Ishak, menekankan bahawa langkah pertama adalah mencipta papan inspirasi. Ia berfungsi sebagai koleksi visual memberikan idea dan hala tuju yang jelas mengenai reka bentuk kediaman.
BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor
“Papan inspirasi membantu menyelaraskan arah dan identiti visual dalam membuat pilihan reka bentuk untuk bilik tidur, dapur dan ruang tamu. Bagi kediaman bujang, sebuah studio apartmen kecil mungkin pilihan ideal.
"Meskipun ruang terhad dengan perancangan yang baik, kediaman boleh menjadi tempat yang selesa," katanya.
Salah satu elemen penting dalam dekorasi adalah pemilihan perabot bagi menyuntik ruang luas dan selesa.
Bagaimanapun, sebelum memulakan dekorasi, beberapa pertimbangan perlu diambil kira seperti sama ada kediaman tersebut dimiliki atau disewa. Keputusan ini akan mempengaruhi pemilihan perabot, sama ada perlu memilih perabot yang tahan lama atau sementara.
"Bajet juga merupakan faktor penting yang perlu diambil kira. Mengambil kira kos untuk pengubahsuaian dan upah pereka hiasan, kebanyakan orang memilih untuk melakukan dekorasi secara berperingkat.
"Kini terdapat pelbagai pilihan pembayaran ansuran dengan sifar peratus faedah, memudahkan pemilik rumah untuk melaksanakan dekorasi dengan lebih fleksibel," jelasnya Adzain.
Adzain
Selain itu, penyelidikan mengenai gaya dekorasi terkini juga sangat penting. Bagi kediaman bujang gaya seperti muji, scandinavian, minimalis, eclectic dan postmodernism menjadi pilihan utama. Gaya-gaya ini menawarkan konsep ringkas tetapi tetap anggun dan menenangkan.
Salah satu elemen penting dalam dekorasi ialah pemilihan perabot. Bagi ruang bilik perabot berkonsepkan minimalis dan moden adalah pilihan terbaik. Perabot yang mudah alih atau mempunyai dua fungsi dalam satu item seperti katil sofa boleh dibuka menjadi tempat tidur apabila tetamu bermalam, sangat sesuai untuk menjimatkan ruang.
Di samping itu, meja makan boleh laras daripada empat kepada enam tempat duduk juga membantu menjimatkan ruang, sementara perabot di bilik tidur seperti gerobok baju yang disambung dengan meja kerja mampu mengurangkan keperluan ruang.
"Pemilihan perabot berkualiti tinggi juga amat penting untuk memastikan pelaburan dalam dekorasi kediaman berbaloi. Penggunaan almari dengan reka bentuk khas, seperti almari bertingkat dan berpintu, dapat mengoptimumkan penggunaan ruang tanpa mengorbankan kepraktisan," ujarnya.
Konsep muji, scandinavian dan minimalis antara konsep dekorasi popular untuk kamar wanita bujang. — Gambar hiasan/Freepik
Dari segi warna, adalah lebih disarankan untuk memilih warna lembut atau warna yang di gelap bagi menyerlahkan ciri-ciri bilik wanita atau feminin. Namun, menurut Adzain, warna neutral atau tanah adalah pilihan terbaik sebagai asas, dan boleh dipadankan dengan warna pastel untuk memberi ketenangan.
Ruang tamu lebih sesuai dengan warna-warna sejuk, kerana ia berfungsi sebagai ruang terbuka yang menempatkan pelbagai aktiviti. Sebaliknya, bilik tidur yang bertujuan untuk memberi ketenangan dan relaksasi, sebaiknya menggunakan warna-warna yang lebih sejuk dan lembut.
Maka, kepada wanita di luar sana, dengan perancangan yang teliti, ruang kediaman bujang anda tidak hanya dapat menjadi praktikal, tetapi juga moden menyerlah dan bergaya. Semua elemen dekorasi ini bukan sahaja mencipta suasana yang menyenangkan, tetapi juga mencerminkan personaliti dan citarasa pemiliknya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram