BOLEH dikatakan, ramai yang tahu memandu, namun berapa ramai memiliki kemahiran mengawal situasi atau mengelak berlakunya kemalangan?
Benar, kemalangan adalah sesuatu sukar dijangka, tetapi setiap pemandu perlu memiliki kemahiran seperti meramal dan teknik pemanduan yang tepat.
Program Pemanduan Defensif amat bermanfaat buat mereka yang ingin mendalami pemanduan keselamatan secara teori dan praktikal. Ia dianjurkan FMP Automotive Malaysia (FMP) dengan kerjasama Kegani Racing Academy bagi memberi pendedahan dari segi meramal dan mengelak sebarang ancaman semasa memandu di atas jalan raya.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
Setiap penerangan secara teori disusuli latihan praktikal oleh jurulatih profesional.
Kursus asas yang ditekankan dalam program tersebut dipecahkan kepada tiga sesi atau aktiviti berbeza iaitu slalom, kawalan selekoh dan brek kecemasan. Setiap sesi diberi penerangan secara teori disusuli dengan latihan praktikal oleh jurulatih profesional.
Peserta digalakkan untuk menggunakan kenderaan masing-masing kerana inilah peluang keemasan buat mereka mengetahui prestasi sebenar jentera.
Slalom
Program dimulakan dengan sesi slalom iaitu pemanduan jalan bengkang bengkok dengan meletakkan kon di tengah-tengah laluan sebagai halangan.
Setiap peserta diajar memutar stereng ke kiri dan ke kanan dengan lembut dan lancar tanpa menekan brek atau melanggar kon tersebut.
Tujuannya bagi memberi gambaran bagaimana hendak membawa kereta di atas jalan raya yang tidak lurus. Latihan itu mementingkan cara memutar stereng dan tekanan pedal minyak yang sekata dan stabil.
Nampak mudah, namun jika teknik pengawalan stereng tidak betul, tanpa sedar kedudukan kereta akan tersasar seterusnya terkeluar dari laluan sebenar.
Jurulatih profesional membimbing di trek supaya pemandu sentiasa peka dengan tindakan yang harus dilakukan.
Pada masa sama, pemandu diminta melihat objek yang berada di depan halangan dan bukan memberi tumpuan semata-mata terhadap halangan di depan kereta.
Ia bertujuan untuk memberi gambaran kepada pemandu supaya sentiasa melihat jarak dua kali ganda di hadapan, selain bersedia dengan keadaan jalan seterusnya.
Apa yang ingin dijelaskan adalah pandangan mata mempengaruhi tangan di stereng. Jadi, ia akan menentukan arah kereta yang dipandu.
Brek kecemasan salah sebuah kenderaan (tiada sistem ABS) memerlukan penepatan masa yang begitu tepat.
Brek kecemasan
Sesi kedua adalah brek kecemasan. Mungkin ramai dalam kalangan pemandu mempunyai pengalaman tersebut semasa di sekolah memandu, namun tidak pada kelajuan yang tinggi.
Program berkenaan akan meminta setiap peserta untuk menekan pedal pendikit hingga mencapai kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam.
Kemudian menekan brek dengan kuat dan mengukur jarak kenderaan tersebut berhenti.
Secara tidak langsung, tindakan terbabit memperlihatkan jarak terbabas sekitar 12 hingga 15 meter dari titik menekan brek.
Peserta turut diberi penerangan tentang perbezaan kereta yang mempunyai sistem brek antikunci (ABS).
Teknologi itu amat membantu mengawal pemberhentian tayar secara berkala bagi mengelakkan kereta terus melanggar halangan di hadapan.
Bagi kenderaan yang tiada sistem tersebut, jarak untuk brek kenderaan perlu sedikit awal kerana tayar kereta serta-merta akan dikunci dan lajak kenderaan lebih jauh.
Sesi mengubah haluan sewaktu kecemasan memerlukan fokus yang tinggi untuk mengambarkan keadaan sebenar di atas jalan raya.
Ubah haluan
Latihan mengubah haluan sewaktu kecemasan akan menunjukkan kaedah hendak mengelak halangan di hadapan.
Seperti situasi kenderaan di hadapan membrek kereta secara mengejut yang kerap berlaku, sesi berkenaan amat penting untuk dicuba berulang-kali.
Setiap peserta diminta memberi fokus untuk sesi tersebut selepas tiba saja di titik menekan brek, pemandu perlu menekan pedal brek dengan kuat tanpa ragu-ragu.
Kemudian, lepaskan pedal tersebut secara perlahan sambil mengelak halangan dan menukar laluan sehingga kenderaan berhenti.
Sesi tersebut bertujuan memberi gambaran realiti di atas jalan raya bagaimana pemandu boleh mengelak daripada berlanggar kenderaan di depan dengan menukar laluan.
Brek secara mengejut tanpa kawalan stereng yang baik boleh menyebabkan kereta berpusing dan hilang kawalan.
Maka, agak mustahil untuk seseorang itu mempraktikkan latihan seperti itu di atas jalan raya dan program tersebut adalah peluang keemasan buat anda di luar sana.
Menurut Joshua modul pembelajaran ditawarkan di Kegani Racing Academy adalah berbeza di sekolah memandu.
Jurulatih Program Pemanduan Defensif, Joshua Lee berkata, terdapat banyak perbezaan dalam program tersebut berbanding pembelajaran di sekolah memandu untuk lulus memperoleh lesen memandu.
“Di sekolah memandu, anda belajar bagaimana hendak memandu secara normal, tetapi di sini peserta diajar cara mengawal kenderaan apabila sesebuah pemanduan itu berpotensi untuk hilang kawalan.
“Program ini melatih pemandu kendalikan stereng, brek dan tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan diri daripada situasi kritikal semasa memandu,” katanya ditemui Majoriti 7 di tapak acara yang berlangsung di tempat letak kereta Stadium Shah Alam, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram