LEGENDA pelawak nombor satu Hollywood, Jim Carrey, 63, cukup dikenali dengan telatah lucu dan spontan yang menghiburkan.
Boleh dikatakan hampir kesemua filem lakonannya sarat dengan elemen humor yang nyata mencuit hati bukan sahaja penonton dewasa, malah kanak-kanak juga turut terhibur melihatkan gelagat pelakon kelahiran Kanada itu
Dalam kebanyakan watak dilakonkan, filem The Mask (1994) merupakan antara yang paling ikonik dan sinonim dengan pelawak versatil tersebut.
Manakan tidak, hingga ke hari ini masih belum ada mana-mana pelakon yang mampu menggantikan peranan tersebut yang dianggap seperti kembar seiras dirinya sendiri.
Pernah disambung ke sekuel Son of The Mask (2005), ketiadaan Jim Carrey amat dirasai penonton yang jelas melihatkan betapa filem itu cukup ikonik dengan dirinya.
Namun, tahukah anda bahawa The Mask sebenarnya merupakan naskhah yang diadaptasi daripada komik komedi seram Amerika Syarikat (AS) sekitar 1991 hingga 1995.
Konsep asal komik tersebut berkisarkan watak seorang lelaki yang bertukar ganas dan jahat selepas memakai sejenis topeng kayu dijumpai di tasik.
Diterbitkan sebanyak tiga buah siri, komik rekaan Mike Richardson itu menggabungkan beberapa elemen jahat dari DC Comics, Marvel Comics dan filem seram seperti Joker serta Green Goblin.
Maka, boleh disimpulkan bahawa The Mask asalnya watak pengganas yang memberontak ekoran kuasa luar biasa dimiliki yang mengakibatkan pelbagai kehancuran bangunan.
The Mask asalnya diadaptasi daripada komik sekitar 1991.
Namun, tidak disangka-sangka idea dan konsep asal itu berubah hasil lakonan Jim Carrey yang dikatakan cukup semula jadi dalam membawakan watak berkenaan di layar perak.
Menurut Agensi, pengarahnya, Chuck Russell pada mulanya dilaporkan menghadapi kesukaran dalam memilih pelakon yang boleh menjiwai watak ganas dan pada masa sama menghiburkan.
Atas cadangan kru produksinya, Jim Carrey dipilih membawakan watak berkenaan dan tanpa diduga, pelakon itu berhasil menjayakan The Mask tanpa memerlukan sebarang perubahan besar pada gaya lakonannya.
Enggan menjejaskan kreativiti serta keunikan mimik muka Jim Carrey, Russel menggunakan khidmat jurusolek terbaik demi mengekalkan ekspresi wajah pelakon itu.
Tidak bergantung kepada teknologi kesan khas visual (CGI) semata-mata, Russel lebih mengutamakan solekan muka di bahagian tulang pipi, dahi dan dagu pelakon itu yang dikatakan cukup sempurna tanpa suntingan kamera.
Biarpun lebih tiga dekad berlalu, The Mask versi Jim Carrey kekal hangat diperkatakan penggemar filem Hollywood yang rata-ratanya mengagumi bakat dimiliki pelakon tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram