Pernah dinobat Pelakon Wanita Terbaik FFM, hos Roda Impian kini usahawan sambal disegani


  • Hiburan
  • Ahad, 29 Sep 2024

Eja pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM24 pada 2011.

PERNAH menjulang nama di persada negara, pelakon veteran Eja, 52, atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin antara anak seni tempatan paling diminati satu ketika dahulu.

Terkenal dengan perwatakan lembut dan sopan santun di layar perak mahupun keperibadiannya, pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia itu boleh dianggap antara selebriti yang 'bersih' daripada sebarang gosip mahupun isu kontroversi artis.

Lebih mengutamakan karier lakonan di awal pembabitannya pada 1999, anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini bermula sebagai seorang pengacara bersama Halim Othman menerusi rancangan Roda Impian (1996) sebelum ditawarkan watak utama dalam drama Rahsia Demi Rahsia.

BACA LAGI: Asalnya lagu PLKN, sentuhan Afdlin Shauki menerusi Erti Hidup julang Dayang Nurfaizah di pentas AJL

BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul

Lanjutan itu, namanya terus berkembang mekar dalam industri tanah air apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 2011 menerusi filem Janin.

Namun, penampilannya di kaca televisyen semakin berkurangan selepas Eja mengumumkan perkahwinannya bersama seorang tokoh korporat pada 2017.

BeFunky-collage__-7-3

Eja dikurniakan seorang cahaya mata perempuan hasil perkahwinannya bersama seorang ahli korporat.

Ditambah pula dengan lambakan pelakon-pelakon baharu yang tumbuh 'bagai cendawan selepas hujan', membuatkan namanya semakin dilupakan dan kian samar dalam pantauan peminat.

Terbaharu, ibu kepada seorang cahaya mata itu difahamkan mula berkecimpung dalam dunia perniagaan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Mengusahakan produk sambal di bawah jenama Eishal's by Eja, pelakon itu kini bergelar seorang usahawan sambal yang semakin dikenali terutamanya penggemar makanan pedas.

Turut dipasarkan ke Singapura, produknya kini boleh didapati di beberapa pusat beli-belah dan rangkaian pasar raya terkemuka seluruh negara.

Merupakan salah seorang pempamer pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 minggu lalu, sekali gus membuktikan empayar jenama produknya semakin meluas ke peringkat tertinggi.

Malah, beberapa lagi produk IKS lain turut bernaung di bawah syarikat miliknya, 3 Bumi Oficial seperti bebola daging, kuah sate, manisan kek, kambing perap dan pelbagai lagi.

Pun begitu, rata-rata peminatnya masih menantikan kemunculan pelakon itu di layar perak walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk berehat seketika daripada dunia seni negara sebelum ini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram