MESKIPUN wajahnya kurang menghiasi layar perak, pelakon dan penyanyi tempatan, Alvin Chong, 33, bagaikan fenomena di bumi Itali apabila dikerumuni ramai peminat wanita.
Wajah dan penampilan persis artis K-Pop anak kelahiran George Town, Pulau Pinang itu nyata mencuri tumpuan hingga dia didatangi beberapa individu untuk berswafoto bersama.
Hadir pada acara karpet merah Prada Fashion Week 2025 di Milan, Itali, Alvin berkongsi momen itu di laman TikTok peribadinya.
@itsalvn you guys just made my day. #PradaFW25 #Prada @Prada ♬ original sound - ALVN
Terkejut dengan sambutan diterima, pelantun lagu Sama Sama Kita itu sempat meluangkan masa melayan peminatnya di sana.
Rata-rata warga maya turut tidak ketinggalan memuji penampilan dan fesyen ditampilkan pelakon itu pada acara berkenaan.
"Memang bergaya Alvin macam model K-Pop, patut pun ramai awek Eropah terpikat minta bergambar," kata isyaamina.
"Dorang mesti ingat K-Pop idol sebab orang Eropah mana tau beza, main hentam je asalkan orang Asia," ujar elvina_roi.
"Alvin mendoniaa, awek Eropah pun terpikat inikan pula kita, tak pernah jumpa lagi berdepan dengan dia," tambah khadlina.
Dalam pada itu, karier seni Alvin di tanah air tercinta seakan-akan suram apabila semakin kurang kelihatan di layar perak mahupun kaca televisyen.
Pernah membintangi beberapa drama Melayu seperti Dia Semanis Honeymoon, Kerana Cinta Itu Ada dan Awak Suka Saya Tak, namun pelakon kacak itu kini kian beralih ke bidang nyanyian yang sudah lama diminati sejak kecil.
Terdahulu, Alvin pernah terfikir untuk meninggalkan dunia hiburan selepas dilaporkan kecewa dengan sikap segelintir penggiat seni yang suka menjaja perihal buruknya pada orang lain.
Lebih menyedihkan, individu terbabit merupakan salah seorang daripada rakan karibnya sendiri yang dianggap sebagai sahabat sejak sekian lama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram