PENCERAMAH selebriti Syamsul Amri Ismail, 47, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menerima berita duka apabila kehilangan adiknya yang dilapor meninggal dunia pada Selasa.
Allahyarham Syamsul Hafiz Ismail menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 8.20 malam dipercayai rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Perkara itu dikongsikan salah seorang sahabat Allahyarham, Fadamir Saad di Facebook yang nyata bersedih atas pemergian Syamsul Hafiz.
"Pagi ni dapat berita hiba, seorang sahabat dulu sama ride ke Cameron Highlands dalam Kerian Bikers, selalu sokong perniagaan aku apa sahaja aku jual mesti beli.
"Rebah semasa main bola dekat USM, masa untuk berehat sahabat Syamsul Hafiz Ismail, masa kami akan muncul jua bila tiba masanya," ujarnya.
Dalam pada itu, ustaz Syamsul Debat menerusi hantaran di TikTok turut berkongsi berita sedih tersebut.
Jelasnya, ia merupakan kehilangan sangat besar bukan sahaja buatnya, malah seisi keluarga serta isteri dan anak-anak Allahyarham.
"Adalah dimaklumkan bahawa adinda kesayangan saya iaitu Syamsul Hafiz Ismail telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 8.20 malam tadi.
"Sesungguhnya ini merupakan suatu kehilangan yang sangat besar bagi diri saya sendiri begitu juga buat keluarga saya, lebih-lebih lagi isteri dan anak-anaknya.
"Allahyarham dijangka dikebumikan esok di Bagan Serai, Perak dalam selepas Zuhur.
"Mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh adinda saya ini diletakkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Amiin Ya Rabb," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram