MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menggesa masyarakat mengambil haiwan peliharaan anjing dari pusat perlindungan haiwan yang sah di sekitar Klang, Selangor.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan orang ramai mengambil anjing peliharaan dari pusat perlindungan disediakan yang disifatkan sebagai tindakan bertanggungjawab.
“Unit Kawalan Anjing Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan, menggalakkan orang ramai untuk mengambil anjing dari pusat perlindungan kami.
"Ia akan memberi haiwan liar di jalanan peluang kedua dan rumah yang selamat di samping pemilik yang penyayang," katanya usai program Pelesenan Anjing yang diadakan di Dewan Ambang Botanic 2, Bandar Botanic, Klang baru-baru ini.
BACA LAGI: 'Semua milik ALLAH', Rumah Aman Sungai Buloh beri sinar baharu buat kanak-kanak terabai
Pengarah Jabatan Kesihatan MBDK, Azmi Muji berkata, pusat perlindungan haiwan MBDK memiliki anjing dari semua peringkat usia yang telah ditangkap berdasarkan aduan orang ramai.
“Kami mempunyai doktor haiwan yang menjalankan pemeriksaan ke atas semua anjing yang dibawa ke pusat perlindungan di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.
“Dengan bilangan yang cukup banyak di pusat perlindungan, orang ramai berpeluang untuk memiliki haiwan peliharaan anjing yang sesuai buat seisi keluarga," katanya.
Tambahnya, sebanyak 90 ekor anjing yang dipindahkan dari jalanan, kini ditempatkan di pusat perlindungan tersebut.
"Kami berharap Tahun Baru Cina ini, orang ramai akan mengambil anjing dari pusat perlindungan MBDK," ujarnya.
Katanya lagi, memiliki anjing dewasa lebih baik kerana haiwan itu berupaya untuk memahami beberapa arahan asas yang boleh memudahkan urusan seharian si pemilik.
Pada program pelesenan anjing itu, seramai 95 pemilik dikenakan bayaran sebanyak RM10 untuk mendapatkan lesen pemilikan anjing peliharaan masing-masing manakala 32 ekor anjing lain diberikan vaksin.
MBDK merekodkan butiran setiap anjing melalui tag leher dan menyampaikan ceramah pada pemilik tentang pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, isu vaksinasi dan nyah cacing.
Azmi berkata, tag itu penting dalam membezakan sama ada anjing itu berlesen ataupun tidak.
"Pemilik yang membawa anjing untuk dilesenkan perlu mengemukakan bukti bahawa haiwan peliharaan mereka telah divaksin dengan mengeluarkan kad vaksinasi," katanya.
Sementara itu, Abd Hamid berkata, individu yang membuang anjing peliharaan hanya kerana faktor kesihatan dan tidak lagi comel adalah satu tindakan yang sangat kejam.
Jelasnya, sesetengah pemilik meninggalkan haiwan peliharaan mereka atas sebab berpindah dari rumah ke kondominium dan kos makanan haiwan itu yang terlampau tinggi.
Untuk butiran lanjut mengenai pelesenan atau pengambilan anjing dari pusat perlindungan haiwan MBDK, orang ramai boleh hubungi talian 03-3375 5555. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram