[VIDEO] Puspakom JB siasat kes staf ditampar pemandu lori mengamuk gagal ujian brek


  • Tular
  • Ahad, 19 Jan 2025

Tangkap layar pelanggan menampar kakitangan Puspakom yang sedang menjalankan tugasnya.

SEORANG pelanggan bertindak agresif dengan menampar seorang kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selepas kenderaan yang dihantarnya gagal melepasi syarat kelulusan di pusat pemeriksaan kenderaan berkenaan.

Insiden yang tular pada Rabu itu berlaku di Puspakom cawangan Johor Bahru, Johor apabila pelanggan lelaki itu dikatakan kurang berpuas hati dengan keputusan pemeriksaan selepas didapati lorinya tidak memenuhi syarat kelulusan teknikal.

Berdasarkan video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berbaju kuning pada awalnya memanggil staf berkenaan sambil menunjukkan sekeping kertas dipercayai keputusan pemeriksaan kenderaannya.

BACA LAGI: 'Susu Handzalah kini milik Faleeq', ibu hilang bayi di taska Saujana Putra ambil anak susuan

BACA LAGI: [VIDEO] Budak tiba-tiba muncul lintas jalan sampai rempuh p-hailing di Ipoh, kakak akui silap adik tak toleh kiri kanan

Tidak dapat menahan kemarahan, lelaki berkenaan tiba-tiba menampar kakitangan yang sedang menjalankan tugasnya itu hingga menyebabkan situasi menjadi tegang.

Melihat keadaan seolah-olah semakin tidak terkawal, dua lagi kakitangan lelaki Puspakom menghampiri pelanggan tersebut dan menenangkannya sambil melihat keputusan pemeriksaan tersebut.

Sementara itu, Puspakom kini menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, siasatan mendapati suspek yang merupakan pelanggan Puspakom bertindak sedemikian kerana kenderaan komersial yang dibawanya untuk pemeriksaan gagal ujian brek semasa Pemeriksaan Berkala.

"Kegagalan itu mendorong suspek berdepan dengan pemeriksa kenderaan Puspakom terbabit sebelum secara tiba-tiba menyerangnya.

"Sebarang bentuk keganasan terhadap kakitangan Puspakom akibat kegagalan dalam pemeriksaan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana pemeriksaan itu sendiri menunjukkan kenderaan itu tidak selamat untuk digunakan di jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, pelanggan yang menerima hasil pemeriksaan seperti itu perlu mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan mereka demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain serta tidak bertindak agresif terhadap kakitangan mereka.

Mahmood berkata, pihaknya sedang mengkaji langkah memperketatkan kawalan keselamatan di premis Puspakom bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.

"Keselamatan di tempat kerja untuk kakitangan adalah keutamaan kami, dan kami komited untuk menguatkuasakan dasar ini tanpa pengecualian.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sebegitu dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku menerima akibat yang sewajarnya," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram