ATLET Muay Thai wanita negara, Nur Amisha Azrilrizal, 23, menerima suntikan semangat apabila lagu Jaguh ciptaan penyanyi hip hop terkenal Altimet, diumumkan sebagai lagu rasmi buatnya di gelanggang.
Ia sekali gus menyaksikan karya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu bakal bergema di setiap perlawanan membabitkan anak jati Perak berkenaan.
Merupakan penghormatan buat atlet negara tersebut, lagu yang dihasilkan pada 2016 itu merakamkan intipati perjuangan Amisha yang tidak henti mengejar kejayaan dalam dunia Muay Thai.
BACA LAGI: Bukan setakat hip hop, SonaOne mampu nyanyi lagu genre berbeza
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
"Kerjasama ini amat bermakna kerana 'Jaguh' membawa erti sebenar menjadi juara, bukan sekadar menang, tetapi mempunyai ketabahan dan keberanian untuk mengekalkan kejayaan.
“Adalah satu penghormatan untuk melangkah ke gelanggang dengan lagu yang mencerminkan perjalanan saya dan memberi inspirasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
"Paling penting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Altimet kerana memberi saya peluang ini dan saya sangat menghargainya," kata Amisha.
Jaguh ciptaan Altimet menjadi lagu tema rasmi buat Nur Amisha (kiri) di gelanggang Muay Thai.
Altimet pada masa sama turut berkongsi keterujaannya tentang Jaguh yang dianggap sebagai lambang kecemerlangan Amisha.
“Jaguh ditulis untuk meraikan juara dan Amisha adalah jelmaan yang sempurna untuk lagu itu. Dia adalah inspirasi sebenar kepada rakyat Malaysia dan contoh sebenar tentang apa yang dimaksudkan untuk menolak sempadan dalam mengejar kehebatan.
"Dalam pada Amisha meneruskan perjalanannya untuk memartabatkan Malaysia di peringkat global, 'Jaguh' berfungsi sebagai peringatan tentang daya tahan dan keazaman yang diperlukan untuk menakluki cabaran serta memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.
Nur Amisha yang berasal dari Gunung Rapat, Perak, mencuri tumpuan selepas merangkul gelaran dunia pertamanya dalam Kejohanan Muay Thai Dunia 2023 bagi kategori 51 kilogram (kg) wanita, Bawah 23 (B-23) di Bangkok, Thailand.
Terdahulu, Nur Amisha menerima penghargaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menyifatkan kurniaan tersebut sesuatu yang tidak ternilai dalam kariernya sebagai atlet Perak, tumpuannya selepas ini terarah kepada karier profesional dalam sukan berkenaan di samping menggalas tanggungjawab untuk mewakili pasukan kebangsaan sekiranya diperlukan. — The Star/S. NAVALAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram