LEBIH 15 tahun berjinak dalam industri muzik hip hop tanah air, SonaOne, 36, atau nama lengkapnya Mikael Adam Mohd Rafae kian mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi karyanya yang serba kreatif dan unik.
Bernaung di bawah syarikat muzik Kartel Records sejak 2010, SonaOne melebarkan sayap seninya menerusi beberapa buah lagu berbahasa Inggeris seperti No Snooze, Flyer Than You G6 dan Like A Dream yang masing-masing mencatat jumlah pendengar tinggi di platform media sosial.
Selang tiga tahun kemudian, karier SonaOne semakin mekar apabila muncul dengan album studio sulung, Growing Up Sucks! dengan mempertaruhkan single berjudul No More dan diikuti single kedua, Hak Eleh.
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
Lebih manis, single No More berjaya menempa sejarah sebagai lagu bahasa Inggeris pertama memenangi anugerah kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-21 (2014) yang juga menyaksikan anak jati Kuantan, Pahang itu menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-29 hasil gandingannya dengan Joe Flizzow menerusi lagu Apa Khabar.
Enggan terlalu lama berdiri atas aliran muzik sama, SonaOne kini ingin dikenali sebagai penyanyi versatil yang mampu menyanyikan pelbagai genre berbeza selain daripada hip hop.
"Walaupun sangat sukakan muzik hip-hop, namun pada masa sama saya mahu membuktikan kemampuan diri menyanyikan genre muzik berbeza.
"Lagipun lagu pertama saya No More, Firefly, Cintaku, Apa Khabar dan Satu Malam di Temasek, saya menyanyi berbanding rap.
"Namun, sukar untuk menidakkan tanggapan peminat yang lebih mengenali saya sebagai penyanyi rap kerana itulah genre yang saya bawa pada awal pembabitan dalam industri," katanya.
Enggan terbatas hanya pada satu genre sahaja, SonaOne yang pernah menjadi pengacara program Hip Hop In Asia itu bakal melancarkan sebuah album istimewa yang mempertaruhkan aliran muzik berbeza.
“Insya-ALLAH, dalam masa terdekat saya akan melancarkan album baharu. Apa yang pasti ia (album) berbeza dan saya perlu bekerja lebih keras,” ujarnya.
SonaOne dan Joe Flizzow sebelum ini pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) 2015.
Selain sibuk di studio mencari ilham buah tangan baharu, SonaOne turut memasang impian untuk membawa muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.
Penyanyi yang pernah menetap di Perancis itu berpendapat bahawa penggiat seni muzik tanah air perlu lebih berani menghasilkan karya untuk dipasarkan ke luar negara.
“Malaysia mempunyai banyak bakat yang kurang diketengahkan dan tertumpu dalam negara sahaja. Walhal, kita memiliki ramai penyanyi yang standardnya sama seperti artis berkelas antarabangsa.
“Bagaimanapun, sebahagian besar pendengar tempatan kurang menghargai bakat-bakat ini terutamanya pejuang muzik hip hop, penyanyi yang diterima ramai adalah artis tular kelahiran daripada platform media sosial.
“Industri muzik K-Pop di Korea Selatan misalnya, dikenali di seluruh dunia sedangkan bahasa yang dibawa bukanlah difahami majoriti pendengar. Namun, muzik mereka diterima. Mengapa kita tidak boleh jadi seperti mereka," katanya.
Tegas pelantun lagu Jatuh Boi bersama artis kelahiran Singapura, YHB Sleepsalot itu, bezanya di Korea Selatan pihak berkuasa di sana banyak menjalinkan kerjasama dengan sektor korporat untuk pembangunan muzik melibatkan peruntukan bernilai jutaan ringgit.
“Berbeza dengan industri di Malaysia. Kita ada banyak bakat, tetapi tiada peruntukan wang yang banyak dan sokongan,” katanya.
Jatuh Boi merupakan antara karya SonaOne bersama penyanyi antarabangsa.
Disoal tentang kehendak muzik generasi gen-Z, SonaOne tidak menafikan pendengar generasi baharu hari ini mempunyai cita rasa berbeza.
Sehubungan itu, para artis menurutnya perlu mengikut kehendak dan trend semasa untuk kekal relevan dalam industri.
Begitu juga dengan pejuang muzik hip hop yang harus peka dengan arus genre mereka supaya tidak terperangkap dalam era sama. Suntikan nafas baharu sewajarnya dipraktikkan mengikut kesesuaian lagu yang dibawakan.
“Mood dalam muzik hip hop lazimnya berubah-ubah dari zaman 1980-an, 1990-an, 2000-an sehingga sekarang, bahkan genre hip hop itu sendiri tidak akan sama.
“Kalau rapper hari ini masih lagi di takuk muzik hip-hop seperti 1990-an, saya bimbang kita sukar untuk kekal lama dalam arena muzik negara. Untuk bertahan, seseorang penyanyi itu termasuk saya perlu menerima dengan hati terbuka penyanyi ataupun peminat gen-Z.
“Saya tidak mahu membidas gen-Z dengan mengatakan mereka tidak memahami tentang muzik, beri mereka peluang kerana mereka mungkin ada sesuatu yang kita tiada,” ujarnya.
Jelasnya lagi, golongan terbabit akan meningkat dewasa dan penerimaan mereka terhadap muzik juga akan berbeza sekali gus mampu berdaya saing di pentas tertinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram