Orang sama di sebalik suara watak Dragon Ball dan Naruto, 'Giant' idam bawa Doraemon ke pentas teater


  • Hiburan
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Sharul Titis merupakan pelakon latar suara dalam pelbagai rancangan kartun popular Jepun.

RANCANGAN kartun televisyen sememangnya cukup popular dalam kalangan kanak-kanak yang sentiasa menjadi ‘peneman sejati’ mereka di waktu kecil.

Lebih manis apabila setiap rancangan ditonton, membawa nostalgia dan 1,001 kenangan manis buat individu apabila meningkat dewasa kelak.

Jika disenaraikan, deretan kartun popular seperti Spongebob Squarepants, Naruto, Masked Rider, Power Rangers, Dragon Ball dan pelbagai lagi animasi popular lain sentiasa digilai golongan tersebut yang juga mencatat tontonan tinggi sejak bergenerasi.

BACA LAGI: Bukan saja Son Goku, ramai tak tahu nama-nama watak anime Dragon Ball berasal daripada sayur-sayuran dan pakaian dalam

BACA LAGI: Hampir muflis, filem hero 'kelas kedua' Iron Man bantu Marvel langsai hutang RM3.2 bilion, cipta empayar besar Hollywood

Kartun Doraemon misalnya merupakan antara yang paling ikonik dalam kalangan kanak-kanak ekoran watak serta lagu temanya yang sentiasa menggamit memori manis biarpun sudah meningkat dewasa.

Meskipun ia asalnya terbitan produksi Jepun, versi Bahasa Melayu yang disiarkan dalam negara turut meninggalkan fenomena apabila masih ditayangkan sehingga ke hari ini.

Namun, di sebalik populariti kartun tersebut, tahukah anda bahawa pelakon suara latarnya juga masih individu sama sejak bertahun?

Antara yang paling lama berkecimpung dalam bidang itu ialah Sharul Titis, 48, atau nama sebenarnya Sharul Nizam yang cukup ikonik dengan watak Giant dalam kartun Doraemon.

Mula berjinak sebagai pelakon suara latar animasi sejak 2000, Sharul kali pertama menggalas tugas itu sebagai watak PoPo dalam sebuah lagi kartun popular Jepun iaitu Dragon Ball.

Keunikan dan kebolehannya melontarkan pelbagai versi suara membuatkan anak jati Petaling Jaya, Selangor ini mencipta legasi tersendiri sebagai individu penting di sebalik pelbagai kartun popular di Malaysia.

465037325_1216823172939777_2788758108207992481_n

Sharul menjadi suara latar kepada pelbagai watak kartun popular.

“Lebih 100 saya rasa kartun ataupun watak yang guna suara saya, sejak 2000 sampai sekarang Giant cerita Doraemon masih saya yang lakonkan dan banyak lagi yang lain juga sebenarnya.

“Menerusi Naruto, suara saya sebagai Gaara, Spongebob saya jadi Mr Crab dan boleh kata semua kartun popular saya terlibat sama, nak senaraikan memang banyak sangat tak terkira dibuatnya.

“Cuma ramai tak tahu yang kebanyakan kartun tu semua guna suara individu yang sama.

"Saya asalnya pun cuba uji bakat zaman dulu dan rezeki kurniaan ALLAH bakat saya dalam bidang ni, sampai sekarang masih meminjamkan suara,” katanya kepada Majoriti.

@abang.giant_titis AbgGiant @SharulTitis in studio Semoga hidup ceria selalu.. #giantdoraemon #fypシ #tiktokviral #voiceover #fypシ゚viral ♬ original sound - Abang Giant TiTis

Dalam pada itu, Sharul turut berperanan sebagai penulis, pengarah dan pelakon teater tanah air menerusi persatuannya, Titian Teater Ilham Seni (TITIS).

Minatnya yang mendalam terhadap dunia seni mencetuskan idea di luar jangka apabila berhajat untuk mengangkat naskah kartun popular ke pentas teater kelak.

Ketika disoal perancangan akan datang, Sharul memasang impian untuk melihat kesemua watak kartun pinjaman suaranya dipersembahkan ke dalam versi teater.

“Belum pernah ada orang buat lagi, saya memang ada cita-cita nak hasilkan teater animasi kartun satu hari nanti, macam Doraemon misalnya.

“Saya dan persatuan TITIS serta beberapa entiti lain ada berbincang tentang perkara ini tapi belum lagi dipertemukan jodoh dengan pihak yang benar-benar serius mahu mengangkat idea 'gila' ini.

“Kita himpunkan pelakon suara latar watak kartun popular di Malaysia dan gandingkan mereka dengan pelakon teater dalam sebuah naskhah, tapi idea ini melibatkan royalti dan hak cipta syarikat luar negara, tak mustahil boleh cuma kena ikut prosedur yang betul,” ujarnya.

kiri

Sharul (kiri) ketika dalam sebuah pementasan teater baru-baru ini.

Sehingga kini, Sharul kekal sebagai penghibur di belakang tabir dengan watak Giant yang sentiasa menjadi identitinya di dunia realiti mahupun platform sosial.

Tanpa disangka-sangka, ramai orang dewasa hari ini sebenarnya membesar dengan suara individu tersebut menerusi watak kartun popular dilakonkan sejak lebih dua dekad lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram