'Khatam' semua hotel 5 bintang di KL, pegawai bank sanggup habis ribuan ringgit buat 'review' jujur


  • Hiburan
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Burhanuddin Abdul Jalil gemar berkongsi ulasan hotel melalui penulisan dan video di laman sosial peribadinya.

BERMULA sekadar hobi, seorang pegawai eksekutif kanan sebuah bank terkemuka di ibu negara kini semakin dikenali sebagai pencipta kandungan ulasan hotel.

Keunikan dan kreativitinya dalam menghasilkan video dan penulisan blog di platform sosial membuatkan dirinya cukup popular dalam kalangan pengembara dan kaki melancong.

Meskipun tidak merancang untuk serius dalam bidang tersebut, Burhanuddin Abdul Jalil, 55, semakin meraih kepercayaan ramai sebagai sebuah entiti yang menghasilkan ulasan jujur penginapan hotel serata negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Mimi Fly: Lagu Angkat istimewa buat ibu dan OKU, tarian guna bahasa isyarat makan masa 18 jam

BACA LAGI: Dahulunya arkitek, Joey BPR kongsi lebih 100 ‘kisah benar’ dunia rock, alam mistik dalam buku terbitan sendiri

"Saya mulanya sekadar hobi dan memang suka menginap di hotel atas urusan kerja supaya lebih tenang dan dapat rehat yang cukup.

"Tapi disebabkan itu ramai pula yang bertanya kepada saya hotel mana yang elok, selesa ada kolam renang sebagainya, saya pun kongsikan berdasarkan pengalaman yang saya ada.

"Lama kelamaan saya mula penat orang kerap tanya dan ada kawan yang beri galakan untuk rekodkan semua pengalaman dalam bentuk ulasan di platform digital, itu yang sampai sekarang saya buat suka-suka tapi jadi rujukan ramai orang," katanya kepada Majoriti.

Mula berjinak dalam hobi itu sekitar 2020, Burhanuddin menjelaskan dia sanggup berhabis ribuan ringgit demi penginapan terbaik di serata negara khususnya di Kuala Lumpur.

Enggan digelar pempengaruh ataupun pencipta kandungan, Burhanuddin sebaliknya lebih selesa dikenali sebagai penulis yang gemarkan penginapan hotel.

"Boleh kata hampir semua hotel terkemuka, eksklusif di Kuala Lumpur saya dah khatam, lebih 169 kesemuanya, yang mahal pun saya dah menginap dan semua saya kongsikan secara jujur di blog saya.

"Saya bukan nak jadi pempengaruh atau YouTuber dan sebagainya, cuma suka kongsi pengalaman dengan semua orang melalui video dan penulisan, itu sahaja tapi syukur ramai yang terima.

"Semua hotel yang saya menginap menggunakan duit perbelanjaan sendiri, bukannya ditaja ataupun 'paid review', tak nak sebab nanti jadi berat sebelah, yang tak elok pun jadi elok," tambahnya.

296400704_10227299447207003_5044207679234167784_n

Burhanuddin telah menginap di lebih 196 buah hotel di serata negara.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mengembangkan lagi hobinya itu, Burhanuddin bagaimanapun mahu terus menghasilkan penulisan dan ulasan hotel demi kebaikan masyarakat.

Merupakan salah seorang pemilik dan penulis di akaun Facebook 'Hotel Review Malaysia', Burhanuddin yang lebih mesra digelar Bob menyifatkan ia sebagai satu kepuasan untuk menyediakan bahan bacaan buat semua lapisan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram