Hospital di Muar terima dana lebih RM46,000, perbaharui kelengkapan rawat bayi


  • Massa
  • Rabu, 15 Jan 2025

Kakitangan OCBC Bank cawangan Muar melawat hospital pakar SFSH sebagai sebahagian daripada inisiatif sokongan komunitinya. — The Star

HOSPITAL Pakar Sultanah Fatimah (SFSH) di Muar, Johor, menerima sumbangan dana sebanyak RM46,000 daripada OCBC Bank (M) Berhad bagi memperbaharui kelengkapan rawatan bayi baru lahir.

Sumbangan itu dengan kerjasama Rotary Club of Muar, bertujuan menangani peningkatan kes isu kesihatan neonatal dan keperluan mendesak untuk menggantikan peralatan perubatan hospital yang sudah lapuk.

Laporan hospital berkenaan merekodkan peningkatan kes bayi baru lahir yang mengalami jaundis, gangguan pernafasan dan denyutan nadi yang tidak normal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

Kelengkapan mesin rawatan sedia ada yang semakin merosot dari semasa ke semasa, menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan kakitangan perubatan.

Susulan bantuan berkenaan, Ketua Jabatan Pediatrik SFSH, Dr Ngian Geok Hoon menzahirkan rasa terima kasih atas sumbangan tersebut.

"Kami berbesar hati untuk memiliki sebuah mesin baharu untuk membantu bayi baru lahir yang mengalami penyakit kuning, gangguan pernafasan dan masalah denyutan jantung yang tidak normal.

"Ini akan membantu bayi yang baru lahir," katanya.

Antara sumbangan diterima termasuklah resusitasi neopuff, lampu fototerapi dan defibrilator.

Resusitasi neopuff menyediakan pengudaraan tekanan positif terutamanya bagi bayi yang mengalami masalah pernafasan semasa lahir.

Lampu fototerapi, juga dikenali sebagai cahaya biliblue, menggunakan cahaya biru untuk merawat penyakit kuning pada bayi baru lahir manakala defibrilator pula berfungsi menghantar kejutan elektrik ke jantung untuk memulihkan degupan kembali yang normal.

Pengurus Kanan OCBC Bank cawangan Muar, Sia Pueh Win berkata, pihaknya akan meneruskan komitmen untuk menyokong komuniti di mana sahaja ia beroperasi.

“Bayi baru lahir adalah masa depan kami dan kami sangat gembira menjadi sebahagian daripada inisiatif ini bagi memastikan hospital mempunyai peralatan yang sesuai untuk merawat bayi baru lahir sebaik mungkin.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Rotary Club of Muar atas kerjasama tersebut,” katanya.

Tambahnya, OCBC Bank menyasarkan untuk melampaui penyediaan perkhidmatan perbankan, dengan memenuhi keperluan sosial masyarakat.

“Kami berharap impak peralatan itu akan dirasai secara positif dalam jangka masa panjang oleh masyarakat di Muar,” katanya. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram