PENYANYI popular Datuk Nora Ariffin, 51, atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin berkongsi detik cemas dilalui apabila diekori dua lelaki dipercayai samseng di ibu negara baru-baru ini.
Kejadian dikatakan berlaku ketika pelantun Melodi Perpisahan itu berjalan ke arah keretanya untuk membeli goreng pisang di sebuah premis.
Diekori rapat dua individu lelaki tidak dikenali, Nora kemudiannya melihat ke arah tingkap dan ternampak kelibat pelaku yang didakwa berpelakuan samseng.
"Saya memandu seorang diri dan parkir di tempat letak kereta untuk beli goreng pisang. Kemudian semasa berjalan ke kereta, saya nampak ada sebuah kereta four wheel drive ikut saya.
"Saya terus masuk dalam kereta dan cepat-cepat kunci.
"Saya tengok cermin, dia buka tingkap lalu saya nampak dua orang lelaki berbadan agak besar. Saya cepat-cepat baca doa pendinding diri dan minta pertolongan daripada ALLAH," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.
Panik dengan situasi tersebut, Nora kemudiannya terus menghidupkan enjin dan beredar dari lokasi berkenaan.
Meninggalkan pesanan buat golongan wanita agar sentiasa berhati-hati, penyanyi berkenaan berkongsi tip bacaan ayat pelindung supaya dijauhi musibah.
"Moralnya, saya nak pesan kepada kaum wanita, tolong berhati-hati di luar sana. Kita tak tahu apa akan jadi. Perlu sentiasa berjaga-jaga, amalkan doa pelindung diri dengan izin ALLAH.
"Tadi saya memang berharap pada ALLAH sahaja sebab seorang diri, Alhamdulillah syukur tapi masih menggeletar sebab panik.
"Saya terfikir, macam mana kalau dia datang dengan kapak dan parang lalu buka cermin, apa yang saya boleh lakukan? Sebab saya tak boleh nak ke mana-mana mereka sudah block kereta," ceritanya.
Walau bagaimanapun, Nora difahamkan tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan berharap agar orang ramai lebih berwaspada dengan keselamatan sekeliling. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram