[VIDEO] Mimi Fly: Lagu Angkat istimewa buat ibu dan OKU, tarian guna bahasa isyarat makan masa 18 jam


  • Hiburan
  • Rabu, 15 Jan 2025

Mimi Fly tampil keunikan tersendiri apabila menggunakan bahasa isyarat dalam muzik video lagu baharunya berjudul Angkat.

SELEPAS lebih lima tahun menyepi dari industri muzik tanah air, penyanyi berbakat Mimi Fly, 38, ataupun nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham kembali dengan buah tangan baharu berjudul Angkat.

Cukup dikenali dengan kebolehannya dalam nyanyian rap dan seni tarian, Mimi Fly mengambil langkah berani apabila menghasilkan lagu yang sarat dengan budaya Melayu serta Iban.

Menariknya lagu tersebut, muzik videonya mengetengahkan isu Orang Kurang Upaya (OKU) yang jelas dipaparkan melalui bahasa isyarat digunakan.

BACA LAGI: Dahulunya arkitek, Joey BPR kongsi lebih 100 ‘kisah benar’ dunia rock, alam mistik dalam buku terbitan sendiri

BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock

Boleh difahami oleh masyarakat umum mahupun golongan OKU, Angkat jelas memaparkan sisi berbeza penyanyi yang mencipta nama bersama kumpulan One Nation Emcees itu.

Kelainan ditampilkan membuahkan hasil apabila lagu tersebut meraih perkongsian ramai di laman sosial dengan rata-ratanya memuji karya dihasilkan MiMi Fly.

Mengulas lanjut berkaitan lagu tersebut, Mimi menjelaskan ia dihasilkan bertujuan bagi mendekati golongan kurang upaya.

Merupakan anak kepada seorang insan bergelar OKU, Mimi mendedikasikan lagu tersebut khas buat ibunya, Ramlah Md Jalee yang dilahirkan tanpa sepasang kaki sejak dari kecil.

Menghargai jasa dan pengorbanan ibunya dalam membesarkan dia dan tiga beradiknya sebagai ibu tunggal sejak sekian lama, single terbaharunya itu mengangkat golongan OKU sebagai individu wajar dihormati setiap masyarakat.

"Semua orang tahu saya ada ibu OKU, sebagai artis memang ada kelompok yang tak faham saya kerana kekurangan itu, jadi saya mahu mendekati mereka.

"Single Angkat juga menggambarkan perasaan saya yang tak mahu lagi berurusan dengan orang yang suka cakap belakang," katanya menerusi satu temu bual podcast di You Tube.

rd4

Mimi Fly merupakan anak kepada seorang OKU.

Dalam pada itu, Mimi Fly difahamkan mengambil masa lebih 18 jam untuk menghasilkan muzik video tersebut yang menurutnya sangat mencabar.

Mempelajari bahasa isyarat dari seorang guru yang juga OKU, perkenalan Mimi Fly dengan individu tersebut terjadi secara spontan apabila mula bertegur sapa di sebuah studio senaman yoga.

Maka, dari situ tercetusnya idea untuk menghasilkan muzik video berkonsepkan bahasa pertuturan yang kemudiannya membuahkan hasil apabila disukai ramai.

Angkat merupakan gabungan lagu Angkat Kaki yang pernah dipopularkan penyanyi dangdut, Sheeda dan ia diberi nafas baharu dengan penambahan lirik rap daripada Mimi. Setakat ini, lagu tersebut meraih tontonan lebih 250,000 lepas 12 hari dilancarkan di plaform YouTube. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram