PERNAH menjadi fenomena dalam industri rock tanah air, legasi kumpulan Bumiputra Rockers sejak awal pembabitannya pada 1985 kekal terpahat dalam ingatan peminat hingga ke hari ini.
Vokalisnya, Johari Mat Rozekhi, 61, ataupun lebih dikenali sebagai Joey BPR menjadi insan bertanggungjawab membawa kumpulan itu sebagai salah satu kugiran disegani tanah air di zaman kegemilangannya.
Mengecapi populariti dalam dunia rock tanah air menerusi empat album pertama BPR iaitu Selamat Pagi Malaysia (1986), Bisa (1987), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Era 90an (1991), Joey masih aktif menyanyi pada festival dan acara muzik sekitar ibu negara.
BACA LAGI: Ratu Alternatif Malaysia masih dirindui, Abot teruskan legasi muzik bersama The Chors Buskers
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
Mengimbau kembali kegemilangan penyanyi itu satu ketika dahulu, Joey pada mulanya merupakan seorang arkitek sebelum terjun ke dalam bidang nyanyian.
Berkemahiran dalam reka bentuk bangunan serta lukisan pelan 3D komputer, siapa sangka anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu merupakan antara individu bertanggungjawab membina pusat tarikan Sunway Lagoon di Subang Jaya, Selangor.
Joey ketika berkhidmat sebagai seorang arkitek satu ketika dahulu.
Merupakan salah seorang daripada arkitek yang menghasilkan pelan reka bentuk pusat tumpuan tersebut, beberapa lagi bangunan lain turut mendapat sentuhan Joey antaranya Sunway Kolej, Kulim Hitech, Kedah dan Hotel Sunway Lagoon.
Difahamkan, idea dan konsep asal Hotel Sunway diilhamkan daripada reka bentuk taman tema popular Disneyland namun ia tidak mendapat kelulusan daripada pihak atasan.
"Dulu aku kerja di firma arkitek. Arkitek Akiprima, arkitek Bersatu dan banyak lagi. Aku dipanggil khas untuk maintain komputer dan latih semua arkitek-arkitek buat 3D artwork dan animasi. Sebelum tu, semua design adalah 2D.
"Aku sama-sama design Sunway Lagoon, Sunway College, Sunway hotel dan Kulim Hitech. Bos aku Ray Cheah, adik Jeffrey Cheah (Bos Sunway Group).
"Hotel Sunway Lagoon mula-mula design, tak macam sekarang, memang sebiji macam Disneyland tapi tak lulus," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain bergelar srorang penyanyi, Joey juga menerbitkan sebuah buku biografi khas buat peminatnya.
Terbaharu, Joey sibuk mempromosikan buku autobiografi terbitannya berjudul JOEY: In Loving Memory yang dihasilkan sejak Oktober tahun lalu.
Difahamkan, idea penghasilan buku itu didorong kuat oleh Allahyarham Pyanhabib Rahman yang merupakan bekas Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023.
Bercerita lanjut mengenai buku tersebut, tujuan ia dihasilkan adalah supaya peminat dapat merasai sendiri pengalaman dan kisah suka duka penyanyi itu sejak kali pertama menjejak kaki ke industri muzik tanah air.
Mengandungi lebih 100 kisah yang diadaptasi daripada kejadian sebenar, antara topik menarik dikongsikan Joey adalah ketika pemain gitarnya dirasuk hantu selepas pulang mengadakan konsert di Banting, Selangor.
“Bassist saya sampai menyembah matahari sebab dirasuk, itu memang kisah benar dan tak ramai yang tahu sebab zaman dulu tiada laman sosial.
“Keadaan dia agak teruk sampai saya terjun laut untuk selamatkan bassist saya yang kena rasuk, pergi berubat dengan bomoh dan sebagainya, itu semua pengalaman Bumiputra Rockers yang saya tak pernah cerita melainkan hanya dalam buku ini.
“Kisah-kisah lain antaranya saya pernah ternampak makhluk asing dan piring UFO, memang orang akan ketawakan saya tapi jujur ini kisah benar yang saya ikhlas kongsikan, sampaikan ada bangsa dan agama asing yang minat beli buku saya sebab tertarik dengan kisah mistik saya,” katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, setakat ini lebih 300 buah buku telah pun terjual dan ia merupakan satu kejayaan yang tidak disangka-sangka kerana mendapat sokongan padu daripada peminatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram