'Susu Handzalah kini milik Faleeq', ibu hilang bayi di taska Saujana Putra ambil anak susuan


  • Tular
  • Rabu, 15 Jan 2025

Sri Wahyuni Rahman (kiri) kini menjadi ibu susuan kepada seorang bayi yang bernama Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis.

KESEDIHAN seorang wanita yang kematian bayinya di taska Saujana Putra, Jenjarom, Selangor baru-baru ini terubat apabila difahamkan sudah pun mengambil anak susuan.

Sri Wahyuni Rahman, ibu kepada Allahyarham Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan memberikan susu simpanan arwah anaknya kepada seorang bayi yang juga baru kehilangan ibunya.

"Alhamdulillah, ALLAH pertemukan kami. Faleeq baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia dalam tidur. Susu Handzalah kini milik Faleeq," kongsinya di halaman Instagram pada Rabu.

BACA LAGI: Taska terkait kes kematian bayi 4 bulan di Saujana Putra tiada lesen, diarah tutup

BACA LAGI: Polis siasat kematian bayi 4 bulan ketika dibawa ke klinik di Bandar Saujana Putra

Menganggap Faleeq ataupun nama lengkapnya, Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis sebagai pengganti dan pengubat rindu kehilangan anak bongsunya, Wahyuni mendoakan agar bayi susuannya itu membesar menjadi anak yang soleh.

"Ibu doakan semoga awak membesar menjadi anak yang soleh dan patuh ya. Muka pun nak dekat sama dengan Handzalah," ujarnya lagi.

Terdahulu, Wahyuni memuat naik luahannya berhubung kecuaian taska tersebut yang didakwa menjadi punca kematian anaknya.

Pihak taska turut didakwa melakukan pengabaian dengan meninggalkan mangsa terlalu lama di dalam bilik tanpa pengawasan petugas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu keputusan analisa makmal untuk mengesahkan punca kematian mangsa.

Hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram