Pengarah Squid Game nafi teori fans bongkar maksud kad merah dan biru, tak mustahil ada kad kuning musim ke-3


  • Hiburan
  • Isnin, 13 Jan 2025

Squid Game 2 meraih tayangan tinggi di platform Netflix sejak ditayangkan pada Disember lalu.

FENOMENA musim terbaharu drama Squid Game terbitan produksi Korea Selatan kian hangat diperkatakan di laman sosial kebelakangan ini.

Ia susulan kemunculan siri keduanya yang kini sedang ditayangkan di platform Netflix dan meraih tayangan tinggi seantero dunia ekoran plot penceritaannya yang unik serta berbeza daripada kebiasaan.

Populariti Squid Game turut membangkitkan beberapa spekulasi dan teori penonton terhadap pengakhiran drama berkenaan yang dikatakan bakal bersambung ke musim ketiga.

BACA LAGI: [VIDEO] Kos produksi lebih RM300 juta, kualiti Squid Game 2 dipertikai gara-gara jurukamera 'berlakon' sama

BACA LAGI: Populariti The Rock di Hollywood bagaikan 'rezeki terpijak', tewaskan 2 lagi penggusti hebat WWE

Beberapa perkongsian warga maya di laman sosial merungkai maksud tersirat di sebalik warna kad biru dan merah dalam salah satu babak drama berkenaan.

Watak penjual lakonan Gong Ji-cheol di awal babak Squid Game melihatkan dia menyediakan dua kad iaitu merah dan biru sebagai pilihan buat peserta permainan tersebut.

Tidak didedahkan maksud di sebalik warna kedua-dua kad berkenaan, rata-rata penonton tampil dengan teori tersendiri yang berpendapat ia menjadi penentu watak apakah yang bakal dimainkan peserta dalam permainan tersebut.

Seperti dipaparkan dalam drama berkenaan, watak utamanya, Seong Gi-hun lakonan Lee Jung-jae yang memilih kad biru, kemudiannya diculik dan terus menjadi salah seorang peserta dalam permainan Squid Game.

Di sebalik pelbagai teori cuba ditafsirkan penonton, pengarahnya, Hwang Dong-hyuk menafikan teori berkenaan yang menurutnya ia sama sekali tidak benar dan jauh berbeza daripada konsep asal drama terbabit.

"Saya tahu banyak teori yang bermain dalam fikiran penonton berhubung kad biru dan merah itu, penonton lebih kreatif daripada saya.

"Kedua-dua warna itu berasal dari kisah legenda hantu tandas yang menawarkan tisu tandas merah atau biru. Kedua-dua pilihan membawa kepada kematian yang kejam.

"Dalam sesetengah versi, mangsa dicekik jika mereka memilih biru atau ditikam jika mereka memilih merah.

"Dalam Squid Game, pemain menghadapi situasi yang sama di mana kesemua jalan membawa kepada kematian. Dengan cara itu, merah dan biru adalah pilihan yang tepat untuk permainan ddakji," katanya berdasarkan laporan Koreaboo.

cr3

Hwang Dong-hyuk merupakan pengarah siri popular Squid Game.

Namun, kedua-dua warna itu dikatakan hanyalah permulaan buat dua musim terdahulu dan segalanya akan terjawab pada siri yang akan datang.

Dalam pada itu, penonton turut berpendapat beberapa lagi warna kad berbeza seperti kuning dan hijau akan turut ditampilkan dalam Squid Game musim seterusnya kelak.

Ia susulan beberapa lagi identiti dalam Squid Game dilihat masih belum terungkai seperti 'Frontman' yang sehingga kini tidak diketahui individu di sebalik topeng hitam tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram