'100 Lagu 100 Tahun', Nuri Terbang Malam sentuhan M Nasir-Tam Spider legasi repertoir muzik piring hitam


  • Hiburan
  • Selasa, 14 Jan 2025

Nuri Terbang Malam versi baharu dirakamkan semula oleh legenda muzik tanah air iaitu M. Nasir.

PEREDARAN muzik seiring teknologi semasa melihatkan negara semakin dimeriahkan dengan karya kreatif nukilan penyanyi baharu zaman kini.

Turut dibayangi konsep muzik dari luar negara, penggunaan bahasa dalam lirik lagu juga banyak berubah jika dibandingkan zaman terdahulu yang lebih menitikberatkan adab dan budaya dalam penyampaian muzik.

Mengimbau kembali industri muzik zaman klasik tanah air, lagu Nuri Terbang Malam memahat sejarah tersendiri apabila menjadi karya Melayu pertama direkodkan dalam piring hitam sekitar 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.

BACA LAGI: Selain melawak, Wan Gegau juga berbakat cipta lagu, serlah jiwa rock bersama Silverchain Band yang 'belum siap'

BACA LAGI: Legasi rockers, Man Kidal tubuh band Waris bersama cucu, anak angkat dan peserta Gegar Vaganza

Dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang, lagu yang dirakamkan di Singapura itu menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah.

Sarat dengan elemen kemelayuan dan kebudayaan, Nuri Terbang Malam berkisarkan isu budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut.

photo_2025-01-12_13-54-08

M. Nasir (tengah) ketika di set penggambaran muzik video Nuri Terbang Malam.

Cukup berpuitis dalam penyampaian lagunya, liriknya menceritakan tentang cinta yang tidak pernah pudar bagai burung nuri yang terus mencari di malam gelap.

Hampir lenyap dalam simpanan industri tempatan, lagu berusia lebih 100 tahun itu kini diberi nafas baharu oleh maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir, 67, atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam.

Merupakan sebahagian daripada projek ‘100 Lagu 100 Tahun', ia merupakan cetusan idea daripada individu berpengalaman tanah air iaitu Datuk Mohamed Mustafa Ishak dan komposer terkenal, Dr Mohd Azhar Abu Bakar.

Objektif projek itu dijalankan adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari awal abad ke-20 dalam bentuk audio dan buku khas buat pendengar generasi baharu.

@luncaiemassdnbhd Adindaku Jauhari.... Terima Kasih tuan-tuan untuk 55 ribu tontonan muzik video "Nuri Terbang Malam" di laman youtube Luncai Emas. #nuriterbangmalam #mnasir #adindakujauhari #100lagu #100tahun #uum #luncaiemas #aswara #fyp #lagumelayu #1903 ♬ original sound - LuncaiEmasSdnBhd

Dahulunya berkonsepkan klasik, M. Nasir bersama vokalis Spider, Tam (penyanyi latar) diberikan mandat untuk menyampaikan lagu itu ke dalam versi baharu yang lebih malar segar tanpa melupakan identiti asalnya.

Turut mendapat sentuhan susunan muzik daripada gitaris Spider iaitu Allahyarham Napie, gubahan baharu itu menurut Luncai Emas, dihadiahkan khas buat pencinta muzik Melayu.

Napie atau nama sebenarnya, Hanafi Hamdan turut bertanggungjawab selaku produser untuk menerbitkan lagu berkenaan dengan memperkenalkan rentak yang lebih rancak namun, masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah.

Muzik videonya juga turut mengekalkan konsep hitam putih sebagai tema plot lagu tersebut dan kini ia sedia didengarkan di semua platform sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram