RANCANGAN realiti televisyen (TV) pernah mencetuskan fenomena bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia yang amat mengutamakan platform itu sebagai pencarian bakat baharu.
Buktinya, pelbagai program hiburan berbentuk realiti muncul sekitar awal 2000an dan berjaya melahirkan beberapa artis tanah air yang kini gah di persada industri tempatan.
Antara bintang yang lahir di platform berkenaan adalah Jaclyn Victor dari program Malaysian Idol, Alif Satar (One in a Million 1) (OIAM), Stacy (Akademi Fantasia 6), Hael Husaini (Akademi Fantasia 10), Amar Baharin (Anak Wayang), Reen Rahim (Pilih Kasih) dan Nurul Syuhada Nurul Ain (Malaysia’s Top Host).
BACA LAGI: Populariti The Rock di Hollywood bagaikan 'rezeki terpijak', tewaskan 2 lagi penggusti hebat WWE
Namun seiring peredaran zaman, segelintir selebriti hari ini lahir menerusi platform media sosial bermula sebagai pempengaruh sebelum terjun ke dalam industri.
Situasi tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada program realiti televisyen masih relevan atau sebaliknya dalam melahirkan bakat-bakat baharu.
Program realiti CSOIAM kini sedang berlangsung di kaca televisyen.
Kini, industri muzik tempatan juga sedang dalam pemburuan bakat baharu menerusi program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang sedang bersiaran di televisyen.
Masih mendapat perhatian dan sokongan dalam kalangan masyarakat, rata-rata pesertanya terdiri daripada golongan muda yang memasang impian bergelar penyanyi popular.
Mendapatkan pandangan berkaitan hal tersebut, ikuti temu bual Majoriti bersama Penerbit Eksekutif merangkap Pengurus Projek Rangkaian Media Prima Berhad, Shazreena Mohd Kassim dan selebriti popular, Alif Satar berhubung pandangan mereka tentang isu tersebut.
Selaku Penerbit Eksekutif yang juga Pengurus Projek untuk rancangan realiti popular, One in a Million, bagaimanakah anda melihat evolusi program mencari bakat baharu pada hari ini?
Shazreena: Rancangan berbentuk realiti televisyen telah mengalami perubahan yang sangat hebat. Kelahiran bakat-bakat baharu hari ini bukan sahaja daripada Generasi Millennials (Gen Y), tetapi juga Generasi Z (Gen Z). Malah bakat mereka juga pelbagai.
Adakah program pencarian bakat baharu (realiti TV) masih relevan?
Saya percaya program tersebut masih relevan kerana artis-artis pada ada hari ini kebanyakannya lahir daripada realiti TV. Mereka telah berjaya membina nama menerusi rancangan berkenaan. Jadi, saya percaya program sebegitu masih relevan untuk generasi hari ini yang mahu mencari peluang sekali gus bertapak dalam industri hiburan tempatan. Malah, ada sesetengah rancangan realiti TV tidak menetapkan had umur. Maka, setiap generasi berbakat masih berpeluang untuk mencuba nasib. Ada segelintir peserta menyertai rancangan realiti TV bukan untuk bergelar artis atau mengejar populariti, tetapi mahu menimba pengalaman sahaja.
Bagaimanakah anda melihat persaingan antara bakat baharu yang dicungkil menerusi rancangan realiti TV dan media sosial?
Persaingan itu tetap ada, namun berlaku secara sihat. Saya ambil contoh rancangan realiti One in a Million. Ada dalam kalangan peserta yang sudah bina nama turut serta dalam program tersebut. Kita tidak nafikan pengaruh besar platform media sosial pada hari ini. Saya anggap mereka yang berpengaruh mempunyai kelebihan untuk mendapat perhatian dan tempat dalam kalangan peminat mereka. Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan tersendiri. Cuma mereka yang lahir daripada rancangan realiti TV boleh menimba pengalaman selain ditawarkan hadiah lumayan.
Adakah rancangan realiti TV hari ini masih memiliki aura yang sama ketika zaman kegemilangan program tersebut sedekad lalu?
Sudah tentu ia berbeza kerana kewujudan media sosial. Hari ini sesebuah rancangan realiti TV itu akan mendapat liputan lebih luas dan tidak sekadar menerusi kaca televisyen sahaja. Selain itu, pihak penyiar juga akan lakukan penambahbaikan untuk program mereka supaya dapat memikat hati dan selera penonton hari ini. Stesen televisyen perlu menghidangkan gimik menakjubkan selain mengetengahkan bakat-bakat baharu yang hebat.
Alif Satar mula menceburi bidang nyanyian dari program OIAM.
Sebagai artis yang lahir daripada rancangan realiti TV, adakah program sebegitu masih lagi relevan memandangkan ramai bakat baharu hari ini lahir menerusi media sosial?
Alif Satar: Bagi saya masih relevan. Mereka yang lahir daripada program pencarian bakat realiti TV berbanding media sosial sangat berbeza. Saya sendiri pernah menjadi pengacara untuk sebuah program realiti TV berbentuk nyanyian. Rata-rata peserta adalah penyanyi yang lahir menerusi platform media sosial. Program realiti TV itu sendiri bertujuan untuk mencungkil dan memperkenalkan bakat baharu yang benar-benar berkualiti. Mereka bukan individu yang terkenal dalam media sosial, namun berbakat. Orang seperti mereka yang patut diketengahkan. Program realiti TV adalah platform terbaik untuk memperkenalkan mereka dalam industri.
Anda ada sentuh perbezaan antara artis kelahiran rancangan realiti TV dengan mereka yang muncul melalui platform media sosial. Apakah perbezaan tersebut?
Perbezaan pertama sudah tentu kualiti. Namun, saya tidak nafikan ada penyanyi yang muncul melalui platform media sosial hari ini berbakat. Selain kualiti, pengalaman yang dilalui juga berbeza. Artis kelahiran rancangan realiti TV perlu bertanding dan menyanyi di atas pentas untuk dinilai. Berbeza dengan artis kelahiran media sosial, mereka tidak ada pengalaman sebegitu. Jadi, ketika membuat persembahan, agak gugup kerana kurang pengalaman. Artis kelahiran rancangan realiti TV juga perlu menjual diri dalam industri. Zaman saya ketika menyertai program One in a Million musim pertama pada 2006, memang terasa sukar untuk jual diri dalam industri. Saya perlu turun padang untuk buat promosi, jumpa setiap wartawan memperkenalkan diri dan maklumkan perkembangan terkini.
Adakah anda berasakan masyarakat masih berminat untuk menonton program realiti TV?
Saya kurang pasti penonton hari ini masih berminat atau tidak. Berbanding sebelum ini, ada penonton sanggup berhabis untuk mengundi peserta kegemaran mereka, jika program realiti itu melibatkan undian penonton berbanding juri profesional. Tapi jika sekarang, saya sendiri tidak tahu. Landskap industri hari ini juga sudah berbeza. Bagaimanapun, saya berpendapat dengan adanya platform media sosial, promosi program realiti TV itu sepatutnya menjadi lebih luas. Jika penonton tidak menonton melalui kaca televisyen, mereka masih boleh mengikuti perkembangan melalui media sosial. Barangkali, suasananya mungkin tidak serancak dahulu. Penonton hari ini juga memiliki cita rasa sendiri.
Apakah antara cabaran yang mungkin dilalui oleh artis kelahiran program realiti TV hari ini?
Sudah tentu untuk kekal relevan dan terus bertapak dalam industri. Dengan adanya platform media sosial akan wujud persaingan antara pelapis kelahiran program realiti dengan media sosial. Selain itu, pelapis baharu yang lahir daripada program realiti TV juga perlu cipta sesuatu kelainan berbanding artis lain untuk menjadikan mereka unik dan lain daripada yang lain.
Adakah pihak stesen TV mengambil langkah betul apabila masih menerbitkan program hiburan pencarian bakat baharu walaupun sedar wujudnya persaingan dengan platform media sosial?
Kita tidak boleh nafikan ada artis hari ini yang lahir daripada program realiti TV berjaya dan kekal relevan. Mereka menjadi bukti bahawa artis yang muncul melalui program pencarian bakat TV memang memiliki kualiti dan standard tersendiri. Jadi, saya rasa tidak ada salahnya jika program sebegini terus dianjurkan untuk mencari pelapis-pelapis baharu bagi mewarnai industri seni hiburan pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram