PELAWAK popular kelahiran Indonesia, Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 37, menitip rasa syukur usai selamat menjalani pembedahan bariatrik pada Isnin.
Merupakan pembedahan kali kedua selepas tujuh tahun lalu, Vicha berharap agar kesihatannya bertambah baik dan masalah sesak nafasnya hilang selepas rawatan tersebut.
Disoal tentang prosedur dan risiko menjalani pembedahan bariatrik kali kedua, bekas juara Muzikal Lawak Superstar 2019 itu menjelaskan dia pada mulanya berasa takut namun kembali yakin selepas disahkan selamat oleh doktor pakar.
BACA LAGI: Lambakan platform media sosial, program realiti TV masih relevan jika nak jadi artis
"Alhamdulillah saya boleh tapi kita kena rujuk dulu dengan doktor pakar yang bedah gastrik saya yang pertama dahulu pada 2018.
"Jadi lepas tujuh tahun, saya baru buat lagi pembedahan yang kedua, sebelum mula (bedah), kita akan periksa dulu bekas bedah yang lama, apa-apa kita boleh bincang dengan doktor pakar ya," katanya menerusi ciapan di InstaStory.
Akui dirinya agak gentar untuk menjalani pembedahan kali kedua, Vicha walau bagaimanapun memberanikan diri demi kesihatan.
"Ini kali kedua saya buat selepas kali pertama pada tujuh tahun lalu. Jujur, yang kedua ini agak takut pada awalnya.
"Tapi bila dah berbincang dengan doktor dan dia menjalankan pemeriksaan keseluruhan doktor maklumkan, boleh teruskan, jadi saya beranikan diri untuk kesihatan.
"Alhamdulillah, terima kasih semuanya dipermudahkan ALLAH. Semoga selepas ini, bertambah sihat dan hilang sesak nafasnya," ujarnya lagi.
Terdahulu, pelawak kumpulan Saywho itu mendedahkan sudah pun berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Nigeria dikenali sebagai Johnson sejak 2019.
Dikurniakan seorang cahaya mata berusia lima tahun, Vicha turut mempunyai tiga orang anak perempuan yang tinggal di Indonesia hasil perkahwinan terdahulu iaitu Aurael Angelina Khezya, Listya Arum Tresnasih dan Michelle Averina Chalista. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram