SERAMAI 40 pelajar dan guru dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah meraih pengalaman berharga apabila mempelajari tentang industri penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Jumaat.
Program komuniti yang dianjurkan oleh AirAsia dengan kerjasama KKIA itu memberi peluang buat para peserta melihat operasi di belakang tabir syarikat penerbangan tersebut.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk simulasi pendaratan dan pelepasan pesawat, lawatan dalam pesawat serta perkongsian mengenai Perkhidmatan Kebakaran dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS).
BACA LAGI : Peningkatan kos operasi punca tambang bas sekolah naik sehingga RM10 bermula Februari
Program itu bertujuan memberi pengalaman unik buat golongan pelajar kurang berkemampuan, serta merangsang minat dan memperluaskan aspirasi kerjaya dalam bidang tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Kapten Datuk Fareh Mazputra, menekankan kepercayaan buat golongan muda meraih pengetahuan dan merealisasikan impian mereka.
“Melalui program ini, kami mahu memberi inspirasi kepada pelajar, ramai daripada mereka mungkin pertama kali berpeluang melihat pesawat dengan dekat.
"Diharap kesemua peserta selepas ini akan mempertimbangkan ia sebagai pilihan kerjaya yang mampu berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, program ini juga berupaya memberi pelajar pengetahuan eksklusif dan perspektif yang diperlukan untuk berjaya dalam industri berkenaan.
“Dengan membangunkan bakat tempatan, kami memastikan sektor penerbangan terus dinamik dan lestari, memberi sumbangan kepada ekonomi serta pertumbuhan pemimpin masa depan dalam bidang penerbangan.
“Sebagai pintu gerbang utama Sabah, kami mengucapkan tahniah atas inisiatif berterusan KKIA dalam memberi inspirasi kepada pelajar dan guru mengenai operasi di lapangan terbang serta menggalakkan mereka untuk meneroka peluang kerjaya yang menarik dalam bidang ini,” tambahnya.
Program tersebut berlangsung selama dua hari dan melibatkan pelajar dari dua sekolah berbeza dengan sesi terdahulu pada 7 Januari, melibatkan 39 orang pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram