Nahas motosikal rempuh pejalan kaki, anggota TLDM antara 2 maut di Kota Kinabalu


  • 112
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Dua individu dilaporkan maut dalam insiden motosikal rempuh pejalan kaki di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

SATU kemalangan nahas membabitkan seorang penunggang motosikal dan pejalan kaki dilaporkan berlaku di Jalan UMS, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis malam.

Dua lelaki, termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 25 tahun disahkan maut manakala pembonceng motosikal (23), cedera parah dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.44 malam itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 20-an bersama pemboncengnya dipercayai datang daripada arah jalan Sepanggar dan hendak menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu dengan menggunakan lorong tengah jalan raya.

BACA LAGI: Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ugutan bunuh

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan

"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba seorang pejalan kaki dalam lingkungan umur 40-an telah berlari melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dipercayai mahu menyeberang jalan menuju ke rumah sewanya yang terletak di seberang jalan.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tersebut tidak sempat untuk mengelak lalu terlanggar pejalan kaki dan menyebabkan dirinya bersama pembonceng terbabas sejauh tujuh meter.

"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dan pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan yang bertugas," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas berdekatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram