Ratu Alternatif Malaysia masih dirindui, Abot teruskan legasi muzik bersama The Chors Buskers


  • Hiburan
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Abot merupakan penyanyi alternatif solo wanita pertama Malaysia.

PERNAH menjadi fenomena dalam dunia rock tanah air era 90-an, Norimah Muhammad, 49, atau lebih dikenali sebagai Abot meninggalkan 1,00, kenangan manis buat penggemar muzik satu ketika dahulu.

Mula berkecimpung dalam bidang seni sejak usia belasan tahun, Abot mencipta lagunya sendiri ketika berumur 13 tahun dan karya agungnya, Camar merupakan antara yang hit pada zaman kegemilangannya.

Diberi gelaran Ratu Alternatif Malaysia, Abot memahat sejarahnya tersendiri apabila tersenarai dalam Malaysia Book Of Record sebagai Penyanyi Alternatif Solo Wanita pertama di Malaysia sekitar 1996.

BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock

BACA LAGI: Legasi Penghibur No.1 Asia, ramai tak tahu anak buah Allahyarham Sudirman, Atai kini 'orang kuat' syarikat IT tersohor Switzerland

Malah, nama pentas digunakan, Abot juga adalah singkatan daripada 'Alternatif Buat Orang Timur' yang diilhamkan sendiri oleh anak jati Negeri Sembilan ini.

Biarpun lebih dua dekad berlalu, lagunya masih menjadi siulan dan tontonan ramai di laman sosial yang nyata cukup merindui penyanyi berbakat itu.

Namanya kini kembali meniti di bibir peminat usai beberapa perkongsian warga maya melihatkan Abot masih aktif meneruskan karier muziknya sebagai pemuzik jalanan.

Masih bergiat aktif dalam dunia muzik, penglibatan Abot sebagai penyanyi difahamkan tidak lagi terarah kepada program televisyen, tetapi lebih dikenali sebagai pemuzik jalanan di pusat beli-belah sekitar ibu negara.

Masih menerima tempahan nyanyian secara tertutup, Abot bersama suaminya, Jac dari kumpulan rock FTG mengubati kerinduan peminatnya menerusi persembahan busking yang nyata mengundang perhatian warga maya baru-baru ini.

Menamakan kumpulannya sebagai The Chors Buskers, Abot bersama suaminya turut mencipta sebuah lagu berjudul Peneman Setia yang dilancarkan di platform YouTube pada 2022.

Selain daripada bergelar pemuzik jalanan, ibu kepada dua orang anak itu juga kerap bersiaran langsung di laman TikTok dan menjadikan ia sebagai platform untuk mendekati peminat yang sentiasa menyokongnya sejak sekian lama.

Kerap disoal berhubung karier muziknya, rata-rata peminat berharap agar Abot kembali membuat kemunculan semula di kaca televisyen selain turut diundi sebagai salah seorang penyanyi otai yang layak menyertai program realiti Gegar Vaganza kelak.

Namun, Abot menerusi hantaran di TikToknya sebelum ini pernah menyatakan bahawa dirinya tidak menolak untuk kembali ke pentas arus perdana sekiranya rezeki memihak kepadanya.

Abot sebelum ini mencipta fenomena menerusi album sulungnya Alternatif Buat Orang Timur (1996) dan meninggalkan legasi seni menerusi dua buah lagi album iaitu Tak Tahu (1997) dan Sayang Pok Pai (2002).

Turut bergelar sebagai seorang penulis novel, antara karya dihasilkan adalah Tinggal Jangan Lepaskan, Demi Cinta Khisa, Cinta Dua Langit Senja dan Cinta Gonie.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram