[VIDEO] Empat pelanggan restoran di Nilai parah, diserang sekumpulan lelaki bersenjata disyaki ahli kongsi gelap


  • Tular
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Tangkap layar serangan bersenjata oleh sekumpulan lelaki dipercayai geng kongsi gelapdi Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis.

KECOH sebuah restoran apabila sekumpulan lelaki bertopeng dipercayai geng kongsi gelap menyerang dan menembak beberapa individu di Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis.

Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam itu, pelaku yang datang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Camry itu dilihat terus menyerbu masuk ke premis berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ketika kejadian.

Tersentak dengan serangan itu, beberapa pelanggan lain menjerit ketakutan dengan mangsa juga dilihat cuba melarikan diri daripada insiden berkenaan.

BACA LAGI: Nahas motosikal rempuh pejalan kaki, anggota TLDM antara 2 maut di Kota Kinabalu

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan

Kejadian sempat dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan dikongsikan meluas di platform media sosial sejak Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, dalam insiden tersebut, empat individu cedera selepas ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan lelaki bertopeng dalam serangan terbuka sekitar pukul 9.40 malam Khamis.

"Lima suspek, dipercayai warga tempatan, dirakam menaiki sebuah kenderaan sebelum berhenti dan meluru ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menikmati hidangan di restoran berkenaan.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu.

"Empat lelaki warga tempatan, berusia antara 44 hingga 59 tahun, diserang ketika berada di restoran dalam kawasan pentadbiran IPD Nilai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, siasatan awal mendapati serangan dilakukan oleh lima suspek bersenjatakan parang ketika mangsa sedang duduk minum di restoran tersebut.

"Semua mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dekat Seremban, Negeri Sembilan untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Jelas Abdul Malik, motif serangan masih dalam siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7902222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram