Legasi rockers, Man Kidal tubuh band Waris bersama cucu, anak angkat dan peserta Gegar Vaganza


  • Hiburan
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Man Kidal (dua dari kiri) mengetuai kumpulan rock baru ditubuhkan yang digelar Waris.

DUNIA rock tanah air semakin dimeriahi dengan kedatangan penggiat seni baharu yang tampil dengan sisi berbeza daripada kebiasaan.

Pun begitu, ada juga kumpulan yang ditubuhkan bertujuan sebagai projek khas buat penyambung legasi dan populariti sedia ada.

Gitaris popular Man Kidal, 61, ataupun nama lengkapnya Abdul Rahman Mahmood misalnya antara yang muncul bersama sebuah kumpulan baharu digelar Waris.

BACA LAGI: Selain melawak, Wan Gegau juga berbakat cipta lagu, serlah jiwa rock bersama Silverchain Band yang 'belum siap'

BACA LAGI: [VIDEO] Hafal sajak Usman Awang sejak darjah 2, anak dedah arwah Aziz Desa martabat bahasa Melayu bermula dari rumah

Tujuan kugiran rock itu ditubuhkan adalah sebagai penyambung legasi karya-karya agung buat generasi muda yang berbakat dan meminati bidang tersebut.

Lebih dikenali sebagai gitaris kumpulan The Lefthanded, pengalamannya lebih tiga dekad menyaksikan namanya cukup gah di persada negara selain turut bergelar komposer dihormati industri tempatan.

man2 - 1

Man Kidal merupakan gitaris utama kumpulan The Lefthanded.

Gandingannya bersama seorang lagi penyanyi berpengalaman, Fuad Rahman yang juga peserta Gegar Vaganza dijangka membawa revolusi baharu dalam muzik rock yang kini dilihat ketandusan bakat-bakat muda.

Fuad Rahman yang lebih dikenali sebagai penyanyi bersuara nada tinggi dan gemarkan muzik metal rock, memiliki keupayaan tersendiri yang jelas amat diperlukan Man Kidal bagi membentuk muzik baharu bersama Waris.

Juga merupakan peminat tegar The Lefthanded, elemen rock dimiliki Fuad menjadikan Waris sebagai sebuah kugiran istimewa yang menghimpunkan figura hebat dalam industri tanah air.

Lebih menarik, Waris turut dianggotai dua ahli keluarga Man Kidal iaitu cucunya, Adam dan anak angkatnya (Daniel).

Ia sekali gus membentuk identiti kumpulan itu yang ingin dikenali sebagai penyambung legasi seni Man Kidal menerusi karya-karya baharu yang lebih moden dan disulami elemen rock era 90-an.

Terbaharu, Waris bakal mengadakan konsert Tower of Rock bersama dua buah lagi kumpulan terkenal iaitu Barbarik dan Cromok pada 25 Januari kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram