SELEBRITI dan usahawan terkenal, Paris Hilton berduka cita apabila kediamannya terjejas ekoran tragedi hutan terbakar di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.
Berkongsi kesedihannya di laman Instagram, Paris nyata gagal mengawal emosinya apabila menyaksikan sendiri kediamannya musnah menerusi laporan berita di televisyen.
BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan
BACA LAGI: [VIDEO] Mike Shinoda dedah pernah 'sign' kepala bayi dari Malaysia, mahu jumpa semula fans bertuah
"Menonton berita sambil melihat rumah saya musnah di kaca televisyen adalah perkara yang sangat menyedihkan dan tidak seharusnya dialami sesiapa pun.
"Rumah itu merupakan tempat kami mencipta kenangan, melihat anak saya belajar berjalan dan membesar.
"Walaupun kehilangan itu amat dirasai, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat, doa kami sentiasa buat keluarga yang terkorban dalam kebakaran tersebut," katanya.
Terkesan dengan insiden tersebut, beberapa artis Hollywood lain turut berdepan nasib serupa yang juga kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran melanda.
Mandy Moore, Spencer Pratt, James Woods, Diane Warren, Cameron Mathison dan Ricki Lake antara lain yang meluahkan kesedihan di laman sosial berhubung tragedi berkenaan.
Tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih pada pasukan penyelamat bomba yang bertungkus lumus memadamkan api, Paris yang mempunyai dua orang anak iaitu Phoenix dan London menganggap mereka sebagai wira sejati.
"Kepada anggota bomba yang berani dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi kami, anda adalah wira sejati.
"Saya sangat berterima kasih atas keberanian, dedikasi dan pengorbanan luar biasa yang anda lakukan untuk menyelamatkan situasi ini. Terima kasih dari lubuk hati saya," ujarnya.
Terdahulu, seramai lima mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kebakaran tersebut dengan pelbagai usaha telah pun diambil bagi mengelakkan kebakaran menyebabkan kerosakan lebih serius.
Menurut pihak berkuasa kebakaran terus merebak menyebabkan seluruh jalan, kereta dan kediaman musnah dalam tempoh amat singkat.
Lebih 1,000 bangunan musnah susulan beberapa kebakaran hutan tercetus di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu.
Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terkesan dengan insiden berkenaan setakat ini.
Rakyat Malaysia yang berada atau mengunjungi kawasan terjejas digesa untuk berhati-hati, mematuhi arahan pemindahan tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui kemas kini rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram