INDUSTRI perfileman tanah air kian mendapat perhatian di peringkat antarabangsa menerusi karya agung terhasil sepanjang tahun lalu.
Bukan lagi di takuk lama, pembikin filem tempatan juga kini semakin cakna dengan teknik dan teknologi kesan khas (CGI) dalam sesebuah karya berkualiti setaraf Hollywood.
Buktinya, Takluk:Lahad Datu (2024) arahan Zulkarnain Azhar berjaya meraih kutipan lebih 26 juta selain turut menggondol beberapa anugerah perfileman tanah air.
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
Terbaharu, naskhah berkenaan juga tersenarai dalam carta lima filem terbaik menerusi laporan media di Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan agensi, filem berkisahkan tragedi hitam di Lahad Datu, Sabah itu menduduki tangga teratas menewaskan empat lagi karya Hollywood lain.
Syafiq Kyle (kiri) merupakan antara pelakon utama filem Takluk: Lahad Datu
Ia sekali gus membuktikan betapa industri filem antarabangsa mula membuka mata terhadap kebolehan Malaysia dalam menghasilkan karya berkualiti.
Bukan sahaja filem, barisan pelakon tempatan turut mendapat hasil apabila nama mereka semakin menjadi sebutan malah tidak mustahil satu hari nanti mereka mampu berlakon di tahap lebih tinggi.
Terdahulu, filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada tragedi yang berlaku pada 11 Februari 2013 mengaitkan krisis diplomatik antara Malaysia dan Filipina selepas 235 pengganas negara itu mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah
Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan dan Riezman Khuzaimi, penggambaran filem berkenaan telah dijalankan selama hampir dua bulan di Semporna dan Lahad Datu serta sekitar Selangor.
Sekuel filem itu difahamkan bakal ditayangkan pada tahun ini dengan sesi penggambarannya sedang giat dijalankan ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram