PELAKON dan penyanyi veteran, Jalil Hamid, 67, atau nama lengkapnya Abdul Jalil Abdul Hamid berkongsi kisah sebenar di sebalik penghasilan lagu Ayam.
Merupakan salah satu lagu popular dalam album pertamanya pada 1993, Ayam dikatakan tercetus tanpa sengaja ketika Jalil sedang mengayuh basikal sekitar kediamannya di Shah Alam, Selangor satu ketika dahulu.
Jelasnya, lagu tersebut pada mulanya tiada dalam perancangan asal namun tercipta selepas kejadian aneh yang melanda dirinya.
"Saya terdengar bunyi ayam berkokok, setahu saya ayam berkokok ni biasanya awal pagi tapi jam baru pukul 12 malam.
"Berasa sangsi, saya terus pulang ke rumah tapi ada teringat pesan abah, ular sawa boleh tiru suara ayam untuk pikat ayam untuk dibaham," katanya dalam satu temu bual podcast di You Tube.
Usai tiba di rumah, kejadian itu bermain-main di fikirannya yang kemudiannya terlintas idea berkaitan lagu Ayam.
Mula menulis beberapa fakta dan perihal tentang haiwan tersebut, maka terhasil lirik lagu Ayam, menggantikan Tol yang sepatutnya terkandung dalam album sulungnya itu.
Bagaikan jodoh, bait lirik dan melodinya cukup serasi dengan lontaran suaranya yang kemudiannya meraih pujian ramai pendengar serta peminatnya.
Sehingga kini, lagu Ayam terus kekal dimainkan di corong radio walaupun ia sudah menjangkau usia lebih tiga dekad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram