LEGENDA seniman filem Melayu, Allahyarham Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay merupakan antara penggiat seni disegani.
Dilahirkan di Riau, Indonesia, Wahid kemudiannya berhijrah ke Singapura pada 1935 dan memulakan karier seninya menerusi sebuah filem berjudul Pertaruhan (1948) sebagai pelakon tambahan.
Sejak itu, namanya kian popular di persada perfileman Melayu apabila menerima banyak tawaran berlakon filem dan naskhah yang paling diingati hingga ke hari ini adalah Badang (1962) arahan Allahyarham S. Roomai Noor.
BACA LAGI: SIAR: Gamit nostalgia, Santan Berlada platform lahirkan tukang lelucon otai seperti Accapan-Mr Os
BACA LAGI: SIAR: Sebelum digelar Mak Cun, Erma Fatima figura penting di sebalik Perempuan Melayu Terakhir
Merupakan filem adiwira hitam putih pertama perfileman Melayu ketika itu, peranannya selaku tunjang utama dalam filem tersebut pada mulanya menerima tamparan hebat ekoran fizikal badannya dikatakan kurang sesuai membawakan watak berkenaan.
Dikritik terlalu kurus keding dan bercanggah daripada ciri adiwira yang sepatutnya, Wahid bagaimanapun berjaya mempamerkan kualiti dalam lakonannya hasil kepercayaan dan tanggungjawab diberikan pengarahnya.
Bakatnya difahamkan dikesan S. Roomai Noor secara spontan ketika uji bakat sedang berlangsung di studio Cathay-Keris Film, Singapura sekitar 1962.
Dihadiri lebih 30 individu yang mencuba nasib sebagai Badang, namun tiada seorang berjaya menawan hati pengarah yang ketika itu mahukan seseorang yang 'sederhana' dari segenap aspek.
Allahyarham yang lebih terkenal dengan watak komedi ketika itu kemudiannya ditawarkan S. Roomai Noor sebagai watak utama ekoran fizikal tubuhnya dikatakan cukup sesuai dengan kisah Badang diimpikan.
Walaupun tidak bertubuh sasa, Wahid menyahut cabaran diberikan dan muncul sebagai adiwira pertama yang berbadan kurus.
Difahamkan, Roomai Noor tetap dengan pendiriannya bahawa filem Badang bukanlah tentang seseorang yang bertubuh sasa menjadi perkasa.
Namun, ia berkisahkan seorang individu biasa yang tiba-tiba bertukar gagah perkasa selepas makan muntah jin dan pemilihan Wahid Satay dianggap cukup tepat dalam penceritaan visual tersebut.
Biarpun sekadar meraih kutipan sederhana di panggung wayang, peranan Wahid Satay kekal dikenang masyarakat hari ini sekali gus menewaskan reputasi Badang versi baharu lakonan Datuk Seri Aliff Syukri yang diarahkan Abdul Razak Mohaideen pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram