
SIRI komedi televisyen Santan Berlada merupakan antara rancangan popular era 80-an yang masih malar segar hingga ke hari ini.
Sebelum wujudnya kumpulan Senario, sitkom komedi itu terlebih dahulu mencuri hati penonton menerusi lawak spontan dan nyanyian yang sentiasa membuatkan penonton tidak kering gusi melihat gelagat pelakon-pelakonnya.
BACA LAGI: SIAR: Ada darah 'mix', pelakon popular Singapura-Indonesia raih populariti filem Melayu retro
Namun, tanpa disedari Santan Berlada telah melahirkan bakat pelawak generasi terdahulu yang cukup disegani dan watak dibawakan dalam lakon layar itu kekal menjadi identiti dalam industri.
@lucyhanzel_ Gabungan padu dulu dulu #fypシ #xyzbca #hiburanmingguini #rtmmalaysia #santanberlada ♬ original sound - LucyHanzel_
Accapan
Mendiang Samynathan a/l Rethinam mula menempa nama menerusi penampilannya dalam siri sitkom Santan Berlada.
Merupakan antara artis berbangsa India terawal mencipta nama dalam industri hiburan tanah air, popularitinya memuncak apabila muncul sebagai pelawak yang kerap menerima undangan melawak dan menyanyi dari stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Malah, nama pentas digunakan iaitu Accapan kekal menjadi identiti buat peminatnya yang nyata terpukau dengan lawak serta nyanyiannya dalam album Trio Santan Berlada dan Trio Santan Berlada II.
Album itu menampilkan irama dangdut, rock serta pop yang dirakam dalam bahasa Tamil dan kebanyakan lagu yang dirakamkan diambil dari lagu Melayu yang ditukar liriknya.
Ali Mamak
Sitkom Santan Berlada merupakan platform yang bertanggungjawab menjadikan Ali Mamak sebagai salah seorang pelawak dalam persada seni hiburan tanah air.
Allahyarham Jantan Osman atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak juga berbakat dalam bidang nyanyian dan kebanyakan lagunya cukup sarat dengan mesej berunsurkan kritikan sosial terhadap isu-isu semasa masyarakat Melayu.
Lebih 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air, Allahyarham dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 2008 yang membawa gelaran Datuk buat anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu.
Mr Os
Merupakan salah satu watak penting dalam siri komedi tersebut, Allahyarham Mr Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Hamid tampil unik dengan lawak loghat Perak yang cukup menghiburkan penonton.
Keletah dan penampilannya yang sentiasa tersenyum membuatkan penonton sentiasa tertawa dengan lawak dipersembahkan dalam siri berkenaan di samping gandingannya bersama Ali Mamak dan Accapan.
Lebih terkenal dengan gelaran Mr Os, sitkom Santan Berlada berjaya melonjakkan namanya sebagai pelakon apabila ditawarkan dalam pelbagai filem antaranya Orang Kampung Otak Kimia (1990), Cikgu Romantik (1993), Hero (1989) dan Adik (1990).
Khairul Azhar
Turut tidak ketinggalan mencipta nama menerusi Santan Berlada, Khairul Azhar antara tunjang utama kepada siri komedi tersebut.
Merupakan antara yang terawal membintangi sitkom berkenaan, popularitinya memuncak selepas gandingan trio bersama Ali Mamak dan Accapan diterima baik penonton.
Mula menceburi bidang seni sejak 1978, kini Khairul difahamkan mempunyai pekerjaan tetap di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak lebih 22 tahun menyepi dalam industri hiburan tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram