
SEBUT sahaja Mak Cun, fikiran penonton pastinya dibuai gelak tawa dan lucu lakon layar Erma Fatima, 56, yang cukup sinonim dengan siri drama popular tersebut.
Fenomena rancangan televisyen itu melonjak naik apabila ia diangkat ke pentas teater pada 2016 susulan pencapaian luar biasa diraih dalam enam siri drama terdahulu.
'Bagai tidak dimamah usia', pengarah dan pelakon otai itu kekal mewarnai dunia hiburan tanah air menerusi karyanya yang tak lapuk ditelan dek zaman.
BACA LAGI: SIAR: Gamit nostalgia, Santan Berlada platform lahirkan tukang lelucon otai seperti Accapan-Mr Os
Mengimbau kembali karier lakonan Erma atau nama lengkapnya, Fatimah Rahmad Ali, debut pertamanya di pentas seni tanah air adalah pada 1986 menerusi filem Hantu Siang sebagai antara tunjang utama naskhah arahan A.R Badul itu.
@tontonmy Manisah ni tak baik tauu.. Suka hati dia je fitnah Mak Cun. Karang kena ganyang haaa baru tauu kann Jangan lupa untuk strim Mak Cun, Mai Singgah! setiap Khamis bermula hari ini melalui Tonton! #Tonton #MakCunMaiSinggah #MCMS #dramatiktok #sembangentertainment ♬ original sound - Tonton MY
Bakatnya yang mula dikesan melalui filem tersebut mendapat tempat di hati penonton selain turut menjadi rebutan pembikin filem yang tidak henti-henti menawarkan peranan padanya.
Dari pentas lakonan ke bidang pengarahan, Erma mencuba nasib sebagai individu di belakang tabir menerusi filem arahan pertamanya, Jimi Asmara (1995).
Filem romantik muzikal itu melibatkan beberapa nama besar seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Maimunah, Raja Azura dan ramai lagi pelakon popular sezamannya yang ketika itu cukup masyur di persada perfileman negara.
Berkat kesabaran dan pengalaman diraih dalam penghasilan filem itu, penampilan kedua Erma di kerusi pengarah selang empat tahun kemudian mencipta sejarah manis buat anak jati Kuala Lumpur itu.
Filem Perempuan Melayu Terakhir (1999) menjadi fenomena apabila karya itu dijulang di pentas antarabangsa sebaik namanya dinobatkan selaku pengarah terbaik di Festival Filem Pyongyang, Korea Utara.
Dibintangi pelakon hebat seperti Vanida Imran, Datuk M. Nasir, Tiara Jacquelina dan Eizlan Yusof, filem tersebut mengangkat budaya dan pementasan teater Melayu melalui plot penceritaan yang nyata berbeza berbanding trend perfileman tempatan ketika itu yang lebih terkenal dengan genre romantik komedi.
Tidak hanya dijulang di luar negara, penggiat seni tanah air turut menyanjungi naskhah agung itu apabila merangkut empat trofi di Festival Filem Malaysia ke-14, (FFM14) menerusi kategori Cerita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pelakon Harapan Lelaki (Eizlan Yusof).
Erma Fatima ketika merangkul anugerah di Festival Filem Pyongyang, Korea Utara.
Kejayaan luar biasa itu merupakan satu-satunya pencapaian antarabangsa Erma di sebalik koleksi trofi anugerah tempatan lain pernah dimenanginya.
Kini, menginjak ke usia 56, pelakon dan pengarah popular itu terus giat menghasilkan karya berkualiti di samping menyumbang kepada pengenalan muka-muka baharu menerusi naskhah arahannya di layar perak mahupun kaca televisyen.
Percubaan beraninya memainkan watak komedi menerusi Mak Cun antara variasi lakonan serta pementasan teater terbaik pernah dihasilkan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram