PEMPENGARUH media sosial, Nazirul Hakim, 29, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada Khamis.
Pemergian Allahyarham Nazirul atau lebih dikenali sebagai iamNazirul itu dikongsi rakannya menerusi hantaran di platform X.
“Pada yang mengenali Nazirul Hakim atau lebih dikenali iamNazirul di media sosial, dia telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Idam 3 anak sebelum usia 30, Tya Arifin dedah pernah keguguran ketika bercuti di Turkiye
Sementara itu, sahabat Allahyarham yang juga pempengaruh, Akhi Fairuz turut mengesahkan pemergian Nazirul akibat jangkitan kuman.
“Telah pergi sahabat saya @iamnazirul ke negeri abadi pukul10 lebih malam tadi. Dari awal Disember beliau telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham mencipta nama di laman sosial apabila kerap menghasilkan video berkisarkan suasana di kampung.
Mengetengahkan keindahan kehidupan di desa, elemen kemelayuan sentiasa menjadi keutamaan Nazirul antaranya seni bina rumah tradisional Melayu dan lagu lama menggamit nostalgia.
Pernah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Perak, Nazirul sebelum ini turut dianugerahkan sebagai Key Opinion Leader (KOL) Of The Year bagi tahun 2024 hasil sumbangannya terhadap industri pelancongan di negeri berkenaan.
Menerusi muat naik di laman Instagramnya baru-baru ini, Allahyarham bersyukur atas pemberian anugerah tersebut setelah empat tahun mempromosikan negeri Perak atas dasar cinta terhadap negeri kelahirannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram