[VIDEO] '30 saat istighfar', Norman Hakim kesal 3 'luggage' rosak teruk lepas pulang melancong


  • Hiburan
  • Khamis, 26 Dis 2024

Tangkap layar bagasi Norman Hakim rosak teruk lepas mendarat di lapangan terbang KLIA pada Rabu.

PELAKON popular Norman Hakim, 48, meluahkan rasa kesal apabila tiga beg bagasinya hancur usai pulang melancong dari Korea Selatan.

Jelasnya, sebanyak tiga daripada lapan bagasinya rosak selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak mahupun syarikat penerbangan dinaiki, Norman sebaliknya lebih bersikap rasional dengan mengkaji punca dan penyelesaian terbaik berkaitan masalah yang kerap berlaku itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Gadis gagah angkat Myvi mahu tunai impian ibu sarung uniform polis

BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor top 3 paling tinggi', Altimet dedah terima gaji RM16,000 sebagai YB

"Tolong jangan kritik syarikat penerbangan ini kalau tak membawa kepada apa-apa penyelesaian. Kita nak bantu mereka cari solusi untuk penambahbaikan servis sebab dengarnya pihak pengurusan sedang dalam rundingan untuk tambah kapal terbang dan kapasiti penerbangan.

"Tapi sebelum tu, mereka perlu dibantu untuk mengatasi isu yang mungkin agak terpencil sebegini namun berlaku setiap hari, saban tahun.

"Ikut statistik semasa, sepanjang tahun 2024, 45 juta orang terbang dari seluruh dunia menggunakan penerbangan ini. Agak-agak berapa peratus yang mungkin berdepan dengan ‘kemusnahan’ sama?

"30 saat saya istighfar dan kawal nafas untuk menangkan akal berbanding emosi," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.

Akur dengan isu tersebut, pelakon Gerak Khas itu terpaksa menanggung kos kerugian akibat kerosakan berkenaan.

Merupakan seorang pelakon dan usahawan pada masa sama, Norman meminta pendapat orang ramai untuk sama-sama memberi cadangan untuk membantu menyelesaikan masalah itu pada masa akan datang.

"Yang dah banyak duit kat luar sana mungkin tak ada hal, beg jahanam boleh beli lain. Kita ni bekerja dan berniaga bersengkang mata pagi petang siang malam, sayang sangat wei barang.

"Kepada yang mungkin pernah berdepan dengan insiden ini atau untuk mencegah daripada insiden ini terus berlaku, apa yang boleh kita bantu supaya baik syarikat penerbangan atau mana-mana syarikat penerbangan lain dapat bagi satu solusi bagi menangani isu terbabit," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram