BAGAI pinang dibelah dua, perkahwinan sesama artis mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat yang nyata gembira dengan penyatuan mahligai dibina.
Lebih menarik apabila kedua-duanya datang daripada latar belakang sama yang membuatkan peminat tidak sabar menanti kelahiran cahaya mata mereka.
Malah, tidak keterlaluan apabila ada pihak yang mula mensasarkan untuk melihat anak-anaknya mengikut jejak karier seni ibu bapanya dalam industri apabila meningkat dewasa kelak.
Namun, tidak semua artis tempatan terbuka untuk menurunkan darah seni ke anak-anak dengan sesetengah daripadanya lebih gemar mereka menceburi bidang sukan misalnya.
Beberapa anak selebriti tempatan mula bertapak dalam bidang sukan yang secara umumnya dilihat memiliki potensi besar untuk mewakili negara pada satu hari nanti.
1. Syaikhul Islam
Anak kepada pengarah berbakat negara, Syamsul Yusof difahamkan cukup meminati sukan bola sepak.
Lincah di atas padang, Syaikhul Islam, 8, baru-baru ini dinobatkan sebagai 'Best Soccer Player Of The Year' daripada skuad Kuala Lumpur FC.
Mewakili kelab tersebut bagi kategori di bawah usia 12 tahun dan ia merupakan pencapaian luar biasa dan membanggakan buat Syamsul.
"Anak lelaki saya dapat best soccer ‘player of the year’ award from Kuala Lumpur FC. Ayah dan seluruh ahli keluarga bangga dengan kamu Syaikhul Islam. Alhamdulillah," ciap Syamsul di Instagram baru-baru ini.
2. Airit Rayyan Rizqin
Biarpun ibu bapanya dilanda kontroversi perpisahan, anak kepada pelakon Rita Rudaini, 48, tidak terkesan dengan perkara itu apabila muncul cemerlang dalam bidang akademik dan sukan.
Anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam dengan catatan masa 11.44 saat.
Kongsi Aktres Pembantu TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 itu, anak sulungnya Airit yang merupakan pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar berjaya memadamkan rekod terdahulu yang berusia lebih 20 tahun.
Bukan sahaja berbakat di trek larian, anak kepada bekas bintang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak itu sebelum ini turut berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester sekali gus menerima Anugerah Pengetua di sekolahnya.
3. Aniq Asri Nasharudin
Penyanyi rock tanah air, Datuk Nasharudin Elias ataupun Nash dari kumpulan Lefthanded pernah meluahkan rasa bangganya apabila anaknya mewakili Akademi Bola Sepak Malaga City FC di Sepanyol.
Aniq Asri Nasharudin, 22, dilamar akademi tersebut selepas mempamerkan persembahan cemerlang bersama skuad belia UiTM FC sekitar 2022.
Beraksi di posisi tengah, Aniq kini beraksi Piala Presiden bersama kelab Pulau Pinang FC usai bakatnya dikesan legenda pemain bola sepak negara, Akmal Rizal yang ketika itu merupakan ketua jurulatih kelab tersebut.
4. Muhammad
Memberikan sokongan penuh terhadap anaknya untuk bermain bola sepak sehingga ke peringkat antarabangsa, Farid Kamil, 43, optimis Muhammad, 11, mampu berjaya dalam bidang tersebut.
Mula berjinak dalam sukan itu sejak usia empat tahun, anak sulung kepada pasangan pelakon Farid dan Diana Danielle itu kini menjalani latihan bersama kelab milik pemain kebangsaan Korea Selatan, Kim Do Hoon Global Sports.
Biarpun masih muda, Muhammad yang baru-baru ini selesai menyertai kejohanan di Pattaya dikatakan akan terus bergiat aktif dalam bidang tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram