[VIDEO] Bot berlanggar punca pergaduhan, polis siasat 2 individu 'bergusti' di jeti Semporna


  • 112
  • Khamis, 26 Dis 2024

Tangkap layar dua individu lelaki bergaduh didakwa akibat perlanggaran bot di kawasan Jeti Kahanga, Semporna.

BOT penambang berlanggar dilaporkan punca pergaduhan membabitkan beberapa individu di Jeti Kahanga, Semporna, Sabah pada Rabu.

Kejadian itu turut disaksikan ramai pihak yang berada di lokasi kejadian sambil cuba dihalang seorang lelaki yang tampil berani meleraikan pertelingkahan tersebut.

Video berdurasi 54 saat tersebut tular di laman sosial sejak Rabu dan meraih lebih 1,000 perkongsian di laman Facebook setakat ini.

BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai

BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu

Terkesan dengan video terbabit, polis bertindak memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan di Balai Polis Semporna.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, video itu memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di kawasan jeti.

"Siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Disember lalu sekitar pukul 9 pagi. Bagaimanapun, pihak polis tidak menerima sebarang laporan dari mana-mana pihak terlibat.

"Setelah siasatan dijalankan, punca kejadian disebabkan berlaku perlanggaran kecil melibatkan bot penambang yang mengambil penumpang di jeti, namun dalam kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerugian yang besar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kedua-dua pihak dipanggil ke balai polis untuk dirakam percakapan dan diambil butiran diri masing-masing.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai dan tidak memanjangkan perkara tersebut memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan," katanya.

Justeru, Arif menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu tersebut untuk mengelak kegusaran di kalangan penduduk setempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram