Muncul Pengarah Terbaik FFM33, Nik Amir Mustapha mahu julang penggiat indie ke layar perak, buru penulis skrip muda berbakat


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Dis 2024

Nik Amir merupakan antara pengarah muda berbakat tanah air.

BIARPUN wajahnya kurang dikenali di layar perak, namun hasil karyanya menjadi bukti betapa pemuda berusia 39 tahun itu cukup berbakat dalam bidang pengarahan filem.

Berbeza dengan pengarah-pengarah lain, Nik Amir Mustapha memulakan karier seninya sebagai penulis skrip sebelum mula mengarah filem pertamanya iaitu KIL pada 2013.

Memiliki idea dan konsep fahaman tersendiri terhadap seni perfileman tanah air, setiap karyanya dikatakan cukup berkualiti dan matang dari segi plot penceritaan yang jauh berbeza serta luar dari kotak pemikiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Gadis gagah angkat Myvi mahu tunai impian ibu sarung uniform polis

BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor top 3 paling tinggi', Altimet dedah terima gaji RM16,000 sebagai YB

Lebih membanggakan, buah tangannya sentiada dihargai pelopor industri yang amat mengagumi kepintaran Nik hinggakan dia merangkul dua gelaran Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 26 dan 33 (FFM33).

Terbaharu, Nik menerusi filem Imaginur sekali lagi memahat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik pada edisi ke-33 itu.

photo_2024-12-21_01-28-45

Nik Amir dinobatkan selaku Pengarah Terbaik pada FFM33 baru-baru ini.

Tidak menjangkakan kemenangan itu, Nik bagaimanapun cukup berbangga apabila karya sedemikian dijulang di pentas tertinggi negara tersebut.

Akui dirinya berasal dari kelompok bawah tanah (underground) dan Indie, Nik berharap agar lebih ramai pengarah muda berbakat di luar sana tampil berani menghasilkan karya yang lebih bervariasi buat industri tanah air.

“Saya pun asal dari underground, tulis skrip asalnya tapi berani nak cuba sesuatu yang kita minat tapi berkualiti.

“Mungkin lepas ini insya-ALLAH, saya akan buka peluang buat pengkarya-pengkarya muda yang mahu mencuba bidang pengarahan secara serius.

“Untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak ataupun tiada modal ke apa, buat saja dulu. Jangan putus asa, buat saja sampai jadi mesti boleh berjaya,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Nik turut menyuarakan keinginannya untuk melihat lebih ramai pembikin filem Indie di luar sana tampil menonjolkan bakat di layar perak.

Katanya, Malaysia memiliki ramai pengarah muda berbakat yang tidak didedahkan kepada umum ekoran mungkin ketiadaan bajet dan sokongan untuk mereka melangkah ke pawagam.

“Memang ramai penggiat seni Indie, underground yang berbakat tapi kita tahu penghalang terbesar mereka adalah bajet dan peruntukan.

“Tapi tak apa, semua bermula dari kosong, saya pun asal dari bawah dan siapa sangka boleh ke tahap ini, penonton tempatan boleh terima karya macam ni yang jarang diketengahkan dalam industri kita,” tambahnya.

Kejayaannya di FFM33 baru-baru ini menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan pelbagai lagi filem menarik dan semestinya genre berlainan daripada sedia ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram