KERAJAAN Johor telah mengambil beberapa langkah untuk menangani kesesakan lalu lintas berikutan perubahan cuti hujung minggu Johor yang ditukar dari Jumaat-Sabtu kepada Sabtu-Ahad, kata Exco kerajaan negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor itu berkata, sebanyak 77 lokasi panas (hotspot) telah dikenal pasti di sekitar Greater Johor Bahru (kawasan di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri).
BACA LAGI: ‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing
“Bagi menangani kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Greater Johor Bahru, kami telah merancang beberapa inisiatif penyelesaian.
“Satu jawatankuasa khas telah dibentuk di peringkat kerajaan negeri untuk membincangkan kesesakan lalu lintas.
“Jawatankuasa khas ini telah mengenal pasti titik panas kesesakan lalu lintas dan akan mencadangkan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana serta jangka panjang,” katanya.
“Salah satu titik panas ialah Lebuhraya Pasir Gudang, yang sedang dinaik taraf untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.
“Ini termasuk pembinaan lorong tambahan, penambahbaikan pada persimpangan dan pemasangan lampu isyarat pintar," ujarnya.
Mohamad Fazli berkata, sebuah hab pengangkutan sedang dibina untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
Tambahnya, kerajaan Johor juga bercadang memperkukuh sistem pengangkutan awam dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bas dan mengoptimumkan rangkaian laluan.
“Ini termasuk pembinaan hab pengangkutan baharu bagi menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 78 bas Muafakat Johor dengan lebih 60 laluan telah disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri kepada rakyat.
“Sejak diperkenalkan pada 2016, perkhidmatan itu yang menelan belanja RM28.5 juta, telah memanfaatkan 14.7 juta pengguna setakat Oktober tahun ini.
“Bagi memastikan perkhidmatan bas percuma ini digunakan sepenuhnya, penilaian berkala terhadap bilangan penumpang sedang dijalankan.
“Sebanyak sembilan laluan telah ditambah tahun ini berdasarkan penilaian penumpang dan permintaan daripada penduduk,” katanya.
Ujarnya, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk menaik taraf Terminal Bas Larkin dengan peruntukan RM2.5 juta.
Ia termasuk platform berbumbung, kawasan rehat yang ditetapkan untuk pemandu dan kawasan tertutup untuk penumpang.
Beliau berkata, perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Stadium Sultan Ibrahim dan Zoo Johor akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM885,000.
Selain itu, terdapat cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke Bangunan Sultan Ibrahim dan Taman Botani Diraja. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram