MULA meminati sukan bina badan sejak usia 19 tahun, Damia Emilsya Mohd Zakaria atau lebih dikenali sebagai Mia The Beast Princess memahat sejarah tersendiri apabila bergelar johan bagi acara Malaysia Strongest Woman 2024.
Gadis berusia 21 tahun kelahiran Kota Tinggi, Johor ini berjaya membuktikan bahawa dirinya mampu meraih pencapaian dalam bidang itu walaupun bergelar seorang wanita.
Tegas menepis tanggapan negatif masyarakat mahupun rakan sebaya terhadap minat diceburinya, Mia mahu terus melebarkan sayapnya dalam bidang tersebut dan terus merangkul gelaran Strong Woman di peringkat tertinggi kelak.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor top 3 paling tinggi', Altimet dedah terima gaji RM16,000 sebagai YB
"Ada juga la kata-kata negatif macam tak elok untuk perempuan, memalukan dan sebagainya tapi saya memang jenis yang tak berkawan sangat, jadi saya buat je apa yang saya minat.
"Mula berlatih dengan daddy (ayah) saya sejak zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, asalnya cuma minat tapi sekarang dah jadi serius sebab disokong ibu bapa saya.
"Saya nak terus buat yang terbaik pada masa akan datang dan kalau boleh nak catat pencapaian di luar negara pula lepas ni, akan datang di Bangkok Insha-ALLAH," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut soal kisah peribadinya, Mia merupakan pelajar jurusan pengajian Diploma Perkhidmatan Penyiasatan di Kolej Unikop, Cyberjaya dan kini sedang menjalankan latihan praktikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, Melaka.
Jelasnya, biarpun sudah mencapai kejayaan dalam sukan lasak tersebut, dirinya masih menyimpan hasrat untuk menyarung uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) satu hari nanti.
"Saya nak tunaikan hasrat mummy yang dah lama sangat nak tengok salah seorang anak dia sarung uniform PDRM, jadi harap saya dapat banggakan mummy.
"Lagipun bidang sukan yang saya ceburi tak jauh beza dengan PDRM sebab di sini ada sukan yang mempertandingkan acara persis Strong Woman, jadi minat saya tak terhenti la kalau kata berpeluang menjadi anggota polis.
"Saya sendiri tak sangka boleh capai ke tahap sekarang, semua ni hasil sokongan mummy dan daddy saya, mereka memang bagi 100 peratus kepercayaan pada saya," katanya.
Dalam pada itu, kakak sulung kepada empat beradik tersebut juga tidak terlepas daripada mengalami kecederaan serius.
Jelasnya, dirinya pernah cedera teruk hinggakan tidak mampu untuk berjalan akibat komplikasi pada bahagian tulang belakangnya.
Kesannya, dia terpaksa berehat daripada menjalani latihan di gim selama lebih setahun sebelum kembali bergiat aktif pada 2024.
'Usaha tanda kejayaan', segala keringat dicurahkan dalam latihan bersama bapanya membuahkan hasil apabila berjaya membawa gelaran Strongest Woman Malaysia dan kini namanya menjadi bualan hangat warganet di laman sosial.
Mahu membuktikan wanita bukan golongan lemah, Mia menyeru orang ramai yang meminati sukan lasak itu untuk terus berusaha dan mencuba tanpa putus asa sekali gus menaikkan nama Malaysia di persada dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram