MERUPAKAN pelopor muzik 'death metal' di Malaysia, kumpulan Langsuir kekal dikenali sebagai pejuang muzik nusantara yang tiada tandingannya sejak tiga dekad lalu.
Biarpun lebih dikenali secara 'underground', ia tidak menghalang kumpulan itu untuk terus berkarya di samping sokongan padu peminat setianya yang sentiasa menjadi tulang belakang.
Pengasasnya, Ibrisam Akbar, 49, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Bentara menjelaskan bahawa konsep dan rentak nusantara kemelayuan sentiasa menjadi pegangan Langsuir sejak 1991 hingga sekarang.
BACA LAGI: Bukan lagi bawah naungan Luncai Emas, Margasatwa serlah budaya Terengganu menerusi 'Dalam Kotok'
Perubahan 'selera' pendengar tempatan yang kerap kali berubah mengikut trend semasa tidak menghalang kumpulan asal Ipoh, Perak itu terus menyebarkan adat seni Melayu melalui bait lirik lagunya.
Ibrisam (dua dari kanan) merupakan pemain gitar dan komposer kumpulan Langsuir.
"Awal penubuhan Langsuir kami bermain dengan elemen mistik, lepas itu berkembang kepada konsep kemelayuan yang menjadikan ia sebagai asas jati diri dalam lagu kami.
"Album EP terbaharu kami berjudul Engkar membawa pendengar memahami maksud kehalusan bahasa dan budaya Melayu melalui pantun nenek moyang yang ada banyak maksud tersirat.
"Bila kita lihat balik tradisi kita ni sangat halus sebenarnya, antara lirik dalam Engkar dipetik daripada jampi ilmu perubatan Melayu di zaman penjajahan British satu ketika dahulu.
"Ia diambil dari petikan buku 'The Malay Magic' yang berasal dari United Kingdom (UK), saya jumpa buku tu masa belajar di Universiti Teknologi Mara (UTM) pada 1994," katanya kepada Majoriti.
Merupakan pensyarah di salah sebuah universiti tempatan negara, Ibrisam turut berkongsi perkembangan terkini kumpulannya yang bakal berkolaborasi bersama penyanyi terkenal Loque dari kumpulan Butterfingers.
Jelasnya, Loque merupakan antara penyanyi versatil yang cukup berbakat dan mampu membawa variasi berbeza dalam kumpulan Langsuir.
"Loque telah menyuntik elemen nusantara Melayu dalam muzik dia jadi tak salah untuk kita bekerjasama walaupun berlainan genre muzik.
"Ada lima lagu akan dikeluarkan bermula Disember ini dan salah satunya duet dengan Loque, Insya-ALLAH gabungan itu akan bawa perubahan baik untuk Langsuir.
"Ini kali kedua kami kolaborasi dengan artis tempatan, sebelum ni pada 2005 pernah duet dengan Radhi OAG, masing-masing bawa imej tersendiri dalam lagu," tambahnya.
Mensasarkan untuk lebih dikenali di luar negara, pemain gitar utama Langsuir itu mahu kekal relevan dengan memperjuangkan elemen nusantara agar lebih ramai yang mengenali mereka.
Bermula Februari, Langsuir akan mengadakan beberapa siri konsert jelajah di semenanjung Malaysia selain dalam perancangan untuk melebarkan sayap ke Jepun kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram